Magis "The Legendary Concert" Menjadi

Diterbitkan: Isnin, 2 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Amy
Amy

KUALA LUMPUR: Gabungan empat lagenda muzik tanah air iaitu Datuk Sheila Majid, Jamal Abdillah, Zainal Abidin dan Amy Search di pentas sama pada konsert The Legendary Concert 2012 nyata memberi magis luar biasa.

Hampir 5,000 penonton yang memenuhi ruang Stadium Merdeka di sini bersorak girang apabila artis kegemaran mereka tampil memberikan persembahan bertenaga.

Secara keseluruhannya, persembahan pada malam itu sangat mantap dan ternyata usia bukan penghalang buat mereka untuk 'mengganas' di pentas demi peminat yang menyokong perjalanan seni masing-masing.

Persembahan dimulakan dengan kemunculan penyanyi Jamal Abdillah yang menyampaikan lagu Azura dengan penuh emosi yang mendapat sorakan peminat sebelum meneruskan dengan lagu Gadis Melayu.

Jamal turut mempersembahkan lagu barunya berjudul Maafkan Kamu sebelum menyampaikan beberapa buah lagu popularnya seperti Kekasih Awal Dan Akhir serta Seniman Menangis.

Kemantapan vokal bertenaga Jamal menjadikan set pembukaan konsert itu cukup mengasyikkan.

Keghairahan peminat tidak terhenti di situ apabila ratu jazz negara, Sheila Majid muncul dengan lagu Pengemis Muda sebelum menyampaikan lagu ciptaannya bersama Mac Chew iaitu Ku Mohon dengan penuh perasaan.

Tidak membiarkan penonton terbuai lama dengan lagu balada, Sheila terus mengajak peminat bersama-sama menyanyikan lagu Bila Larut Malam yang pernah dipopularkan oleh Tan Sri P. Ramlee sebelum meneruskan dengan lagu Lagenda, Dengarkanlah, Antara Anyer Dan Jakarta, Aku Cinta Padamu dan lagu wajib Sinaran.

Stadium menjadi gamat apabila penonton turut sama mendendangkan lagu tersebut.

Tidak cukup dengan itu, persembahan Zainal yang menyampaikan lagu Suraya dan Kau Di Hatiku mendapat tepukan gemuruh.

Bijak berinteraksi bersama peminat, Zainal turut mendendangkan dua buah lagu barunya iaitu Kamu dan Alam pada malam itu selain lagu wajibnya, Hijau.

Penutup konsert yang berlangsung lebih tiga jam itu bertambah gamat apabila Amy muncul dengan bersahaja menyampaikan lagu Tiada Lagi dan Gadisku dengan penuh penghayatan.

Amy terus menghangatkan stadium dengan lagu-lagu hits seperti Pawana, Kerja Gila, Isi Dan Kulit yang benar-benar memukau penonton dengan kemantapan vokal dan persembahannya.

Persembahan diakhiri dengan lagu Isabela yang turut dinyanyikan bersama-sama dengan Zainal dan Jamal sebelum Sheila turut serta mendendangkan lagu Dekat Tapi Jauh.

The Legendary Concert 2012 sebelum ini telah menjelajah ke lima negeri bermula di Kota Kinabalu, Sabah pada 5 Mei lalu, Pulau Pinang (19 Mei), Johor Baru (26 Mei), Kuching (23 Jun) dan berakhir di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur (30 Jun).

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Kolumnis

iklan

Iklan