Anzalna Mohon Maaf Pada Neelofa

Diterbitkan: Isnin, 2 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Aktres Anzalna (paling kiri) membuat permohonan maaf mengikut syarat-syarat yang dipersetujui bersama dalam surat perjanjian mereka pada sidang media di Hotel Royale Chulan di sini, petang Isnin. Turut kelihatan Biro Aduan dan Perundangan Seniman Zahrin Ishak, Presiden Seniman Zed Zaidi dan Neelofa. - Foto RAJA FAISAL HISHAN
Aktres Anzalna (paling kiri) membuat permohonan maaf mengikut syarat-syarat yang dipersetujui bersama dalam surat perjanjian mereka pada sidang media di Hotel Royale Chulan di sini, petang Isnin. Turut kelihatan Biro Aduan dan Perundangan Seniman Zahrin Ishak, Presiden Seniman Zed Zaidi dan Neelofa. - Foto RAJA FAISAL HISHAN

PETALING JAYA: Genap sebulan kontroversi pertelingkahan berlaku, pelakon Anzalna Nasir pada Isnin akhirnya memohon maaf secara terbuka kepada Neelofa kerana memfitnah pelakon itu menerusi sebuah akhbar pada 10 Jun lalu.

Anzalna atau nama sebenarnya Nur Anzalna Md Nasir, 24, turut mengakui tidak mempunyai bukti terhadap segala tuduhan yang dilemparkan terhadap Neelofa tetapi ia bukan bermaksud untuk mengaibkan sesiapa.

“Saya Nur Anzalna Md Nasir di atas nasihat Persatuan Seniman Malaysia dengan ini memohon maaf kepada Neelofa kerana mengeluarkan kenyataan di Berita Minggu pada 10 Jun 2012 di muka surat 10 yang telah menjejaskan maruah Neelofa dan keluarganya.

“Saya akui tidak mempunyai bukti yang kukuh ketika mengeluarkan kenyataan di akhbar tersebut.

“Sejujurnya saya tidak bermaksud apa-apa dan tidak berniat untuk mengaibkan sesiapa daripada kenyataan itu,” katanya ketika memohon maaf secara terbuka kepada aktres itu dalam sidang media khas anjuran Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) di Hotel Royale Bintang di sini, petang Isnin.

Kenyataan maaf secara terbuka itu turut disaksikan Neelofa, Presiden Seniman Zed Zaidi, Biro Aduan dan Perundangan Seniman Zahrin Ishak dan peguam kedua-dua aktres terbabit.

Butiran lanjut mengenai syarat-syarat dalam surat perjanjian antara dua aktres berkenaan enggan didedahkan atas alasan sulit dan peribadi.

Kedua-dua aktres tersebut bagaimanapun tidak bersemuka atau bersalaman selepas sidang media berkenaan tetapi meninggalkan majlis dengan tanda tanya.

Dalam pada itu, Neelofa berkata, dia menganggap konflik di antara mereka sudah berakhir menerusi permohonan maaf dan persetujuan Anzalna pada syarat-syarat ditetapkan dalam surat perjanjian itu.

“Saya bersyukur kerana semua ini (pergaduhan) sudah berakhir. Saya memilih untuk menyelesaikan kes ini menerusi jalan perundangan kerana saya tahu kedudukan saya berada di pihak yang benar dan ia terbukti pada hari ini.

“Saya berterima kasih kepada Seniman atas bantuan mereka. Jika tiada mereka, mungkin kes ini semakin berpanjangan,” katanya.

Zed pula berkata, dia berharap permohonan maaf ini dapat meleraikan kekusutan yang timbul dan menyeru pihak media untuk tidak memanjangkan isu ini kerana ia sudah berakhir.

“Semoga pihak media tidak memanjangkan lagi isu ini kerana ia sudah berakhir. Saya berharap media dapat memberikan laporan yang seimbang dan adil supaya kedua-dua aktres ini dapat meneruskan karier mereka tanpa sebarang masalah selepas ini,” katanya.

Konflik antara dua aktres itu tercetus ekoran kenyataan Anzalna yang dianggap sebagai satu fitnah oleh Neelofa dalam artikel bertajuk “Anzalna Bidas Neelofa” menerusi akhbar berkenaan.

Susulan itu, dalam sidang media khas pada 13 Jun, Neelofa melalui peguamnya Ahmad Hidayat Md Nor dan Mohd Irwan Mohd Mubarak telah mengeluarkan notis yang menuntut Anzalna mengemukakan bukti dalam tempoh tujuh hari atas kenyataan yang dikeluarkannya.

Baru-baru ini, Anzalna yang gagal mengemukakan bukti selepas tempoh itu berkata kepada media, dia bersedia memohon maaf secara terbuka kepada Neelofa.

Menerusi laporan mStar Online pada Sabtu lalu, Neelofa berkata, dia menetapkan beberapa syarat kepada Anzalna dalam sepucuk surat sebagai jaminan agar aktres itu memohon maaf secara ikhlas dan bukan kerana terpaksa.

iklan

iklan

Produk Berkaitan

Iklan