Suami Tunaikan Hasrat Akma Berbulan Madu Di Bali

Diterbitkan: Ahad, 1 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Akma dan suaminya, Farih bakal berbulan madu di Bali, Indonesia bulan depan. Foto MOHD AZHAR ARIF.
Akma dan suaminya, Farih bakal berbulan madu di Bali, Indonesia bulan depan. Foto MOHD AZHAR ARIF.

KUALA LUMPUR: Bintang program realiti Akademi Fantasia iaitu Akma terharu apabila suaminya, Farih Hamshi Mohamad Fatmi memenuhi hasratnya untuk berbulan madu di Bali, Indonesia.

Akma atau nama sebenarnya Asiahtunakma Abdullah, 27, berkata, dia berhasrat untuk ke sana kerana tidak pernah menjejakkan kaki ke kepulauan terkenal itu dan gembira kerana bakal berangkat ke sana pada 13 Julai depan.

"Sejak awal dah beritahu suami nak berbulan madu di Bali kerana tidak pernah ke sana dan gembira dia merialisasikan impian saya.

"Tambah seronok saya ke pulau itu bersama suami tersayang," ujarnya selepas ditemui sesudah mahlis akad nikah pasangan itu di sini pada Sabtu.

Akma dan Farih selamat dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan iaitu Abdullah Abdul Rahim di hadapan Penolong Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Zulkifli Mohammad.

Pengantin perempuan menerima RM 300 sebagai mas kahwin dan RM15,000 sebagai wang hantaran daripada pihak lelaki.

Dalam pada itu, Akma bersyukur mereka telah sah menjadi suami isteri dan menjelaskan masih rasa tidak percaya dengan status barunya itu.

Akma berkata, dia bagaimanapun telah sedia untuk memikul tanggungjawab sebagai isteri kepada Farih berbekalkan semua tunjuk ajar dan petua yang diberikan ibunya, Kharion Tan.

"Emak banyak membimbing saya dan memberi pelbagai tips untuk menjadi seorang isteri yang baik dan saya telah bersedia," katanya.

Sementara itu, Farih yang betugas sebagai seorang ekskutif di Petronas memberitahu, mereka selepas ini akan menetap di Putrajaya bagi memulakan kehidupan sebagai suami isteri.

Farih turut memberitahu, dia tidak mempunyai sebarang masalah jika isterinya ingin meneruskan kerjaya dalam bidang nyanyian dan sentiasa menyokong pilihan isteri tercinta.

"Kenapa saya mesti menghalang kerana sokongan akan saya berikan kepada isteri untuk meneruskan kerjayanya sebagai penyanyi," ujarnya.

Ditanya soal anak, Farih dan Akma memberitahu mereka inginkan keluarga yang besar dan berharap akan dikurniakan dengan cahaya mata secepat mungkin.

"Saya tidak kisah berapa orang anak tetapi kami sukakan kepada keluarga yang besar kerana lebih meriah," ujar Akma.

Menyifatkan suaminya seorang yang penyanyang, matang dan bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu, Akma berkata dia sangat bersyukur memiliki Farih dan berharap rumah tangga mereka akan berkekalan sehingga akhir hayat.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan