Stesen Radio Terkilan Tuduhan Tidak Berasas Anuar Zain

Diterbitkan: Jumaat, 22 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Anuar Zain
Anuar Zain

PETALING JAYA: Stesen-stesen radio swasta menganggap kenyataan penyanyi Anuar Zain yang menuduh lagu-lagu daripada album terbarunya tidak mendapat perhatian mereka di radio sebagai dakwaan yang tidak benar sama sekali.

Pengurus Saluran Era FM, Nazri Noran berkata, stesen terbabit sentiasa menyokong karya penyanyi tempatan termasuk Anuar Zain, di mana lagu-lagu penyanyi itu seperti Ku Berjanji Karna Cinta dan Cinta Harus Memiliki sering diputarkan berdasarkan permintaan dan undian pendengar.

“Dakwaan kami tidak membantu dan memutarkan lagu-lagu Anuar adalah tidak berasas. Lagu-lagunya sering diputarkan mengikut permintaan, antara dua hingga tiga kali sehari atau paling kurang sekali sehari berdasarkan permintaan pendengar.

“Kami tidak mempunyai sebarang masalah dengan Anuar dan sentiasa menyokong lagu-lagu artis tempatan secara adil. Malah, lagu Sedetik Lebih menjadi lagu popular bagi tahun lalu di stesen ini.

“Ketika lagu itu memenangi Lagu Terbaik di Anugerah Industri Muzik ke-18 (AIM) pada November tahun lalu, kami dedikasikan segmen khas pada hari berikutnya sebagai penghargaan dengan memutarkan lagu-lagu Anuar pada setiap jam sepanjang hari,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini, Khamis.

Pengurus Operasi Suria FM, Subarma Mokhtar (Subi) pula berkata, dakwaan penyanyi itu adalah kurang manis dan tidak tepat kerana dia berkata demikian tanpa menyedari bahawa lagu-lagunya diputarkan stesen berkenaan.

“Mungkin Anuar tidak faham mengenai perjalanan operasi dan pendengar sasaran yang ditetapkan oleh sesebuah stesen radio. Dia perlu bertanya dan kami boleh jelaskan kepadanya.

“Tidak manis untuk dia membuat dakwaan tanpa dia mendengar sama ada benar radio putarkan lagunya atau tidak? Bagi Suria FM sendiri, kami kerap memutarkan lagu-lagu daripada album barunya kerana mendapat permintaan daripada pendengar,” jelasnya yang menghormati pendirian Anuar yang tidak mendengar radio lebih empat tahun.

Subi berkata, pihaknya berasa terkilan kerana usaha stesen radio memutar dan mempromosikan lagu-lagu penyanyi tempatan tidak mendapat penghargaan tetapi apabila timbul persepsi peribadi sebegini, stesen radio dipersalahkan dengan sewenang-wenangnya.

“Penyanyi mudah menuding jari kepada radio jika lagu-lagu mereka tidak diputarkan tetapi tidak pula menghargai apabila lagu mereka popular kerana kerap diputarkan di radio.

“Kami tidak pernah berat sebelah pada mana-mana penyanyi dan lagu. Jika sesebuah lagu itu sedap dan diterima, kami pasti putarkan termasuklah lagu-lagu Anuar,” katanya yang tidak dapat mendedahkan butiran kaji selidik rating siaran lagu seperti diminta penyanyi itu kerana ia adalah sulit dan bercanggah dengan polisi organisasi.

Sementara bagi Pengurus Rancangan Sinar FM, Rostam Zulkarnain Said (Pak Tam), kenyataan penyanyi itu mengelirukan kerana stesen tersebut kerap memainkan lagu-lagu daripada album barunya walaupun keutamaan stesen itu adalah kepada lagu-lagu retro.

“Kami sentiasa menyokong penyanyi-penyanyi tempatan. Walaupun format kami mengutamakan lagu-lagu retro tetapi lagu-lagu Anuar Zain sentiasa berada dalam senarai putaran kami.

"Lagu barunya, Ku Berjanji Karna Cinta adalah antara lagu yang mendapat putaran tertinggi di Sinar FM. Mungkin perkara ini timbul kerana dia tidak mendengar radio ketika lagunya disiarkan.

"Saya tidak boleh ulas lanjut kerana saya perlu tahu sebab dan keadaan ketika dia mengeluarkan kenyataan itu, sama ada ia ditujukan kepada stesen radio tertentu atau dia tidak puas hati dengan perkara tertentu,” katanya.

Bagaimanapun Ketua Pegawai Operasi, Rangkaian Radio Media Prima Berhad, Seelan Paul yang dihubungi enggan memberikan sebarang komen bagi pihak Hot FM mengenai isu tersebut.

Dalam kenyataannya kepada mStar Online pada Khamis, Anuar atau nama sebenarnya Shahrul Anuar Zain, 42, mendakwa penyanyi-penyanyi yang membawakan genre muzik berlainan daripada kehendak stesen radio tidak akan ‘dilayan’ termasuklah dirinya apabila lagu-lagu daripada album berjudul Anuar Zain itu gagal mendapat perhatian.

Penyanyi itu memberitahu, dia juga terkejut apabila menerima maklum balas bahawa lagu-lagu dalam album yang dipasarkan sejak hujung tahun lalu itu tidak mencapai tahap piawaian stesen radio.

Anuar dalam kenyataannya, turut berkata sikap stesen radio yang asyik memainkan genre muzik serupa menyebabkan dia berasa bosan dan sudah hampir empat tahun tidak mendengar radio.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan