Sejuta Impian Musim Kedua Tawar Insentif RM1 Juta

Diterbitkan: Sabtu, 16 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Sejuta Impian.
Sejuta Impian.

PETALING JAYA: Program hasil cetusan idea Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu Sejuta Impian bakal kembali dengan musim kedua dengan insentif lumayan berjumlah RM1 juta.

Stesen TV3 dalam satu kenyataan berkata, program tersebut bakal mendapat dana daripada Dana 1Malaysia bagi merialisasikan impian rakyat Malaysia.

"Idea untuk membangunkan masyarakat sekeliling, memberi manfaat kepada komuniti anda, melindungi alam sekitar mahupun impian untuk mengubah kehidupan anda, semuanya mungkin bakal tercapai menerusi program realiti Sejuta Impian musim terbaru," menurut kenyataan itu di sini.

Mereka yang mempunyai hasrat dan impian yang terpendam, boleh mendaftar penyertaan secara online dengan melayari www.tv3.com.my/sejutaimpian dari 18 Mei hingga 24 Jun atau hadir ke sesi ujibakat yang akan berlangsung pada 23 dan 24 Jun di Sri Pentas TV3, Bandar Utama, bermula jam 10 pagi hingga 5 petang.

Bagi penyertaan secara online, mereka yang berjaya sahaja akan dihubungi oleh pihak produksi pada 25 Jun.

Untuk mengetahui secara lanjut mengenai Sejuta Impian, anda boleh menghantarkan emel anda ke sejutaimpian@tv3.com.my.

Ujibakat adalah terbuka kepada warganegara Malaysia yang berminat dan mestilah berumur tidak melebihi 40 tahun.

Bagi mereka yang masih di bawah umur 18 tahun harus ditemani oleh ibu bapa atau penjaga ketika menghadiri sesi ujibakat.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan