Personaliti Radio Haruslah Berkebolehan & Bijak

Diterbitkan: Jumaat, 8 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Azrullah Mohd Nor
Azrullah Mohd Nor

KUALA LUMPUR:"Bagi mengetahui sama ada seseorang itu sesuai dalam kerjaya penyampai radio, kami akan lihat kepada personaliti beliau," jelas Azrullah Mohd Nor, Ketua Pegawai Operasi (COO) Red FM yang bernaung di bawah Star Radio.

Menurut Azrullah, 'radio' adalah alat bagi 'menyatukan' masyarakat.

"Tidak dinafikan visual seperti televisyen adalah lebih efektif tetapi ia tidak dapat menggantikan radio kerana tiada benda atau kaedah dapat menggantikan perhubungan melalui bunyi.

"Oleh itu radio masih menjadi satu alat komunikasi yang menarik," katanya pada satu temubual di sini baru-baru ini. Menurut Azrullah, masyarakat menyangka televisyen dapat menggantikan radio tetapi media komunikasi ini telah mencari jalan lain dengan mempunyai penyampai radio yang mempunyai personaliti tersendiri. Radio juga memperkenalkan satu anjakkan paradigma seperti dalam bentuk menyampai maklumat tentang cuaca serta keadaan trafik ketika pendengar sedang memandu.

"Apabila muncul pula satelit dan Internet, radio masih dapat menyesuaikan diri dengan program yang lebih menarik seperti segmen pendengar boleh membuat panggilan telefon kepada stesen radio selain temubual di udara," katanya.

"Sebenarnya (ia) adalah serba boleh, senang dan mudah untuk diakses dan mempunyai kos pengeluaran program yang rendah. Radio membawa laporan langsung tentang keadaan trafik di jalan raya. Radio juga membolehkan masyarakat berkomunikasi tidak kira apa latar belakang mereka. "Dan melalui radio juga, anda boleh mendekati mereka yang mahu mendengar dari anda," jelas COO Red FM itu.

Menurut Azrullah, apabila bercakap mengenai kerjaya di radio, perkara pertama yang terlintas pada pemikiran masyarakat adalah kerjaya sebagai penyampai radio itu sendiri sedangkan hakikatnya wujud banyak pekerjaan dalam sesebuah stesen radio seperti mana organisasi lain.

Katanya, penyampaian radio mengikut rentak di mana penyampai hanya perlu bercakap 'sedikit' tetapi pendengar tetap menunggu setiap perkataan yang muncul daripada penyampai.

"Penyampai adalah suara stesen radio atau program. Mereka bertanggungjawab melahirkan gaya serta nada program radio serta menjalinkan hubungan dengan warga pendengar. "Mereka juga diperlukan untuk melaksanakan beberapa tugas produksi selain menyampai kandungan bagi laman sesawang atau bagi landasan yang lain," jelas Azrullahbeliau.

Bagi Azrullah, penyampai radio perlu mempunyai kebolehan dalam penyampaian yang baik selain keupayaan mencetus idea asal dan berfikir secara kreatif bagi menyampaikannya.

"Beliau perlu mempunyai pemahaman tentang bagaimana nak guna suara secara efektif bagi membina hubungan erat dengan pendengar.

"Beliau juga perlu mempunyai tekad selain skil berkomunikasi serta kebolehan mencari maklumat daripada pasaran radio, stesen radio berlainan, gaya program dan demografi (kelompok) pendengar," katanya.

Beliau juga menerangkan bahawa penyampai radio perlu ada pengetahuan yang komprehensif mengenai genre radio yang mana mereka mahu berkecimpung, keupayaan bekerja sendiri selain boleh bekerja dalam satu pasukan.

Katanya keupayaan bekerja dalam tekanan, mempunyai motivasi dan reaksi yang cepat serta mampu menepati 'deadline' adalah antara kelebihan yang boleh membantu.

Bagi Muhammad Razwan Mohd Ghazi atau 'Razz', Penolong Pengurus Bahagian Produksi Program Star FM, majikan akan melihat kepada kebolehan 'hands-on' dan masa yang diambil bagi membina skil teknikal dan penyampaian selain gaya tersendiri individu.

"Ijazah atau lain-lain kelulusan tidak berapa perlu bagi jawatan ini (penyampai radio).

"Dengan graduan, majikan stesen radio tidak semestinya mahukan ijazah tersebut dalam bidang berkaitan dengan radio tetapi mungkin mereka mahukan ijazah dalam dispilin yang lain terutama dalam genre atau kelompok yang mereka mahu berkecimpung," kata Muhammad Razwan.

Menurut Muhammad Razwan lagi, mereka yang bertujuan melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi juga ditawarkan dengan pelbagai kursus bersangkutan pengajian media tetapi ia adalah penting bagi memastikan sama ada kursus itu menawarkan asas bagi kerjaya penyampai radio selain kebolehan produksi.

"Kursus (institusi) itu juga perlu mempunyai hubungan yang baik dengan industri radio dan sama ada pelajar boleh dengan senang mendapatkan pekerjaan selepas graduasi," jelas beliau.

Kebanyakan majikan menawarkan pelbagai jenis latihan bagi mengemaskini skil penyampai radio dan bagi memperkenalkan teknologi baru.

"Latihan ini boleh didapati di stesen radio itu sendiri atau dibekalkan oleh pembekal latihan dari luar serta bergantung kepada saiz dan struktur organisasi radio itu," kata Muhammad Razwan.

Kolej serta pembekal latihan swasta juga menawarkan kursus pendek bagi menyokong pembangunan profesional penyampai radio selain memberi opsen mereka menukar arah kerjaya.

Menurut Azrullah, Commercial Radio Station (CRM) telah mengadakan acara 'Planet Radio' di mana ia satu karnival tahunan bagi menjelaskan kerjaya industri radio kepada pelajar institusi pengajian tinggi.

Planet Radio pertama diadakan di All Asia Broadcast Centre (ASTRO), Kuala Lumpur pada tahun 2009 diikuti di Kolej universiti Taylor (kampus tasik) pada tahun 2010 dan di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) pada akhir tahun lepas.

Sementara itu, Commercial Radio Malaysia (CRM) dulunya dikenali sebagai Persatuan Pengendali Radio Komersial Malaysia (MACRO). Badan ini mewakili pengendali stesen radio komersial di Malaysia.

Antara keanggotaan CRM ialah ERA, MY FM, Hitz.fm, LiteFM, MIXfm, SINAR, THR, Xfresh, 988, Red 104.9, Suria FM, Best 104, Catsfm, Hot FM, Fly FM, Ikim FM, Capital Radio dan BFM. Star RFM Sdn Bhd ialah anak syarikat Star Publications (M) Bhd yang kini mempunyai empat rangkaian radio iaitu 988, Suria, Capital dan Red FM. Azrullah ialah COO bagi dua stesen radio di bawah Star RFM iatu Red FM dan Suria FM. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan