Christina Perri Bosan Terpaksa 'Terbang' Setiap Hari

Diterbitkan: Jumaat, 8 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Christina Perri berkunjung buat julung kali ke Malaysia sempena promosi album Lovestrong. - Foto oleh RAJA FAISAL HISHAN
Christina Perri berkunjung buat julung kali ke Malaysia sempena promosi album Lovestrong. - Foto oleh RAJA FAISAL HISHAN

KUALA LUMPUR: Penyanyi Amerika Syarikat (AS), Christina Perri berkata dia menghargai peluang bertemu para peminat menerusi konsert jelajah di seluruh dunia tetapi tidak pernah menyukai proses perjalanan yang perlu ditempuhinya.

Perrri atau nama sebenarnya Christina Judith Perri, 26, berkata perkara yang paling membosankan bagi seorang artis antarabangsa sepertinya adalah jadual konsert jelajah yang padat memaksanya terbang ke merata tempat pada setiap hari.

"Saya tidak pernah mendapat reaksi atau pengalaman buruk ketika mengadakan konsert tetapi saya tidak suka proses perjalanan yang perlu saya lalui untuk menjelajah ke merata tempat.

"Terus-terang, saya bosan setiap kali perlu mengambil penerbangan yang memakan masa berjam-jam lamanya. Saya terpaksa bangun awal pagi hampir setiap hari untuk ke penerbangan pagi dan ia meletihkan," katanya secara eksklusif kepada mStar Online.

Perri kini berada di ibu negara bagi menjayakan konsert mini Christina Perri Live in Kuala Lumpur di KL Live di sini yang telah diadakan pada malam Khamis.

Gadis dari Philadelphia, AS menyampaikan lagu-lagu daripada album sulungnya, Lovestrong (2011) termasuklah Jar of Hearts, Arms, Mine dan banyak lagi.

Bercerita mengenai konsert mini yang berlangsung selama 45 minit itu, Perri telah menampilkan persembahan yang ringkas tetapi penuh dengan emosi yang mengasyikkan.

Nama Perri mula mencuri tumpuan di pentas hiburan global setelah 'single' pertamanya Jar of Hearts digunakan sebagai lagu tema program realiti popular di AS iaitu So You Think You Can Dance pada 2010.

Popularitinya terus berkembang apabila dia menghasilkan salah sebuah lagu runut bunyi filem The Twilight Saga: Breaking Dawn Part 1 berjudul A Thousand Years yang digilai peminat di seluruh dunia.

Album berkenaan kini sudah berada di pasaran.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan