Zatul, Caroline & Anas Mara Ke Pentas Akhir Mentor 6

Diterbitkan: Isnin, 4 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Tisha akur dengan kekalahannya di Mentor 6. Foto ROHAIZAT MD DARUS
Tisha akur dengan kekalahannya di Mentor 6. Foto ROHAIZAT MD DARUS

SHAH ALAM: Tiga protege iaitu Caroline, Zatul dan Anas telah berjaya mara ke peringkat akhir Mentor musim keenam (Mentor 6) yang akan berlangsung pada 10 Jun ini di Stadium Malawati, Shah Alam pada pukul 9 malam.

Caroline yang dibimbing oleh mentornya, Ella mendapat 131 markah keseluruhan diikuti dengan Zatul yang juga protoge kepada Ogy Ahmad Daud memperoleh 127 markah manakala Anas, iaitu protoge Faizal Tahir menerima 122 markah.

Persembahan Mentor musim keenam peringkat separuh akhir disiarkan secara langsung menerusi TV3 dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini pada malam Ahad.

Sementara itu protege kepada penyanyi Ferhad iaitu Tisha, terpaksa akur dengan markah terendah iaitu 86 markah sekali gus menjadikan dia peserta terakhir disingkir dalam program berkenaan.

"Memang saya kecewa kerana markah yang diberi namun saya tetap berpuas hati dengan persembahan yang dilakukan.

"Walaupun demam, saya mampu memberikan yang terbaik. Mungkin rezeki saya bukan di Mentor 6 dan saya tetap akan meneruskan cita-cita sebagai seorang penyanyi yang serba boleh.

"Saya bersyukur kerana peluang menyertai program ini banyak memberi pengalaman, ditambah pula dengan kesungguhan Ferhad yang tidak henti-henti memberi tunjuk ajar, banyak perkara yang saya pelajari tentang industri muzik tempatan," katanya.

Tisha mempersembahkan rangkaian lagu Dikir Rambong oleh kumpulan Kapilla dan Makhluk Tuhan Paling Seksi (Mulan Jameela).

Pada persembahan separuh akhir program itu, Anas gagal menarik perhatian juri iaitu Datuk Sharifah Aini dan Datuk Ramli MS apabila lagu yang dibawakan iaitu A Thousand Years nyanyian Christina Perri dan Drama King (Meet Uncle Hussain) kurang menyerlah.

Persembahan Caroline juga memuaskan hati juri apabila menyampaikan lagu nyanyian asal mentornya, Layar Impian, dan juga Set Fire To The Rain (Adele).

Bagaimanapun, Zatul menunjukkan peningkatan yang sangat baik lebih-lebih lagi apabila mempersembahkan lagu Taman Rashidah Utama dan Opera Hidup, daripada kumpulan Wings.

Sementara itu, sebelum penutupan tirai Mentor 6, empat protege tersebut membawakan lagu medley Gelora Cintaku, Meniti Titian Usang dan Teguh, nyanyian Amy (Search).

iklan

Kolumnis

iklan

Produk Berkaitan

Iklan