Adnan Abu Hassan Kecil Hati Dengan Dunia Hiburan

Diterbitkan: Ahad, 3 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Adnan Abu Hassan. - Foto ihsan ASTRO
Adnan Abu Hassan. - Foto ihsan ASTRO

PETALING JAYA: Komposer Adnan Abu Hassan berkecil hati dengan kerenah dan 'politik' dunia muzik tanah air sehingga memaksa dia menjauhkan diri daripada industri hiburan.

Komposer berusia 53 tahun itu berkata, dia sudah tidak berminat untuk bersaing atau menonjol dalam bidang muzik kerana bosan dengan permainan ‘politik’ segelintir pihak yang mempunyai kepentingan peribadi.

“Lihatlah apa yang sudah berlaku pada industri kita yang semakin nazak kerana dipolitikkan atas kepentingan pihak-pihak tertentu. Yang berkuasa dan licik dalam permainan politik mereka akan terus berkembang sedangkan sebahagian besar komposer lama seperti saya makin terpinggir.

“Maka, lebih baik saya kembangkan bakat pada cabang baru seperti pengarahan dan menghasilkan lagu untuk industri muzik di Indonesia,” katanya.

Adnan berkata, dia masih aktif menghasilkan lagu untuk penyanyi baru dan lama walaupun dia sudah jarang muncul di televisyen berbanding sebelum ini.

“Mana ada saya bersara atau lenyap daripada industri muzik. Kalau hendak tahu saya masih aktif menghasilkan lagu untuk penyanyi-penyanyi baru dan lama.

“Alhamdulillah, setakat ini tawaran mencipta lagu tidak pernah putus. Cuma mungkin lagu-lagu saya tidak mendapat perhatian di radio, televisyen dan media, sebab itu ada pihak sangka saya sudah berhenti membuat lagu,” katanya.

Adnan berkata senario industri muzik yang semakin merudum membuatkan dia beralih tumpuan kepada cabang pengarahan drama khususnya bagi beberapa produksi di Sabah.

“Saya aktif mengarah telefilem di Sabah sejak dua tahun lepas. Telefilem-telefilem arahan saya adalah dalam dialek tempatan Sabah kerana masyarakat di sana lebih menghargai karya-karya seni dalam dialek mereka.

“Memandangkan ada permintaan dan peluang di sana, mengapa tidak saya sahut cabaran itu. Jika tiada aral saya akan mengarahkan filem berjudul Borneo Drift di bawah produksi sana selepas Hari Raya nanti,” katanya.

Menyentuh perkembangan terkini, Adnan yang kini terbabit sebagai juri tetap program Kilauan Emas (KE) musim kedua berkata majoriti peserta yang menghadiri uji bakat sejak ia diadakan di Sabah pada 28 April lalu memperlihatkan peningkatan berbanding musim pertama.

“Kalau hendak dibandingkan dengan para peserta musim pertama, orang ramai yang menghadiri uji bakat KE2 lebih bersedia dan berbakat.

“Mereka sudah ada rujukan daripada program musim lalu dan menampakkan evolusi pada program realiti,” katanya.

Selain bertindak sebagai juri tetap pada sesi uji bakat, Adnan turut membimbing aspek vokal para peserta di samping seorang lagi juri iaitu penyanyi Juliza Adlizan.

Program Profil Separuh Akhir KE2 akan ditayangkan pada 27 Jun depan, pukul 8.30 malam selama setengah jam di Astro Prima (saluran 105).

Ia disusuli Konsert Separuh Akhir KE2 pada pukul 9 hingga 10.30 malam, pada tarikh dan saluran yang sama.

Program Profil Akhir KE2 akan disiarkan secara langsung pada 4 Julai depan dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil pada pukul 8 hingga 8.30 malam di saluran yang sama.

Ini diikuti dengan tayangan Retro Karpet KE2 pada pukul 8.30 malam selama setengah jam, pada tarikh dan lokasi sama.

Konsert Kemuncak KE2 pula menyusul pada pukul 9 hingga 11 malam, secara langsung dari lokasi yang sama pada tarikh dan saluran sama.

Untuk maklumat lanjut, layari www.kilauanemas.com.my.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan