M.Nasir Menangis Terpilih Sertai 'Imam Muda'

Diterbitkan: Rabu, 23 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)
Barisan peserta 'Imam Muda' musim ketiga.
Barisan peserta 'Imam Muda' musim ketiga.

KUALA LUMPUR: Muhammad Nasir M Yakub Ismail atau M. Nasir dari Sumatera Utara, Indonesia memberitahu menangis apabila dimaklumkan terpilih menjadi sepuluh peserta akhir rancangan Imam Muda musim ketiga yang bakal bersiaran pada 1 Jun depan.

M.Nasir,26, memberitahu dia sangat terharu dipilih menyertai program tersebut kerana sentiasa mengikuti perkembangan dua siri terdahulu Imam Muda serta berjanji untuk belajar bersungguh-sungguh selepas dipilih menyertai program realiti tersebut.

"Saya menangis saat diberitahu menjadi sepuluh peserta akhir Imam Muda kerana akhirnya saya dapat belajar daripada ilmuwan terbaik dari negara ini," ujarnya kepada mStar Online ketika ditemui pada majlis pelancaran program itu di sini pada Selasa.

M.Nasir merupakan satu-satunya peserta antarabangsa dalam sepuluh calon akhir program Imam Muda musim ketiga.

Ia bakal bersiaran pada 1 Jun depan, pukul 9 malam menerusi saluran Astro Oasis sementara episod pengenalan akan muncul pada 28 Mei ini.

Pelancaran musim ketiga program berkenaan dilakukan oleh Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Masitah Ibrahim.

Dalam pada itu, Pengurus Besar Saluran Astro Oasis, Izelan Basar berkata, untuk musim kali ini pihak produksi turut menerima penyertaan daripada negara jiran seperti Thailand, Kemboja dan Brunei dengan peningkatan sebanyak 32 peratus penyertaan berbanding musim lalu.

Pihaknya juga turut menerima 301 penyertaan menerusi dalam talian dan kebanyakan yang membuat permohonan itu adalah penuntut di luar negara seperti dari Jordan, Mesir, Brunei dan Indonesia.

"Daripada jumlah itu tiga peserta telah berjaya menjadi sepuluh peserta akhir selepas menjalani uji bakat secara dalam talian,” katanya.

Masih mengekalkan Datuk Mahmud Al-Hafiz sebagai Mudir (Pengetua), Imam Muda musim terbaru ini turut menyaksikan kembalinya alumni musim lalu iaitu Asyraf dan Hizbur yang bakal mengalas tanggungjawab sebagai Mursyid (Mentor).

Berbeza dengan musim terdahulu, Mudir dan dua orang Mursyid ini akan dibantu oleh barisan Naqib (Tenaga Pengajar) yang terdiri daripada barisan Imam Muda daripada musim sebelumnya.

"Seramai sepuluh orang Naqib daripada musim pertama dan kedua akan membimbing peserta kali ini dan pemilihan itu adalah untuk membolehkan mereka berkongsi ilmu dengan peserta baru," ujarnya.

Sementara itu, Izelan berkata, Imam Muda kali ini akan bertemakan Perhubungan Keluarga dan bakal memberikan cabaran lebih hebat.

Selain M.Nasir, sembilan peserta lain adalah Muhammad Ramadhan Subky Abdullah, 25 (Kuala Lumpur), Fakhrulrazi Ibrahim, 25 (Pulau Pinang), Omar Mohd Mokhtar, 21 (Pahang), Syed Mohd Faris Syed Roslan, 26 (Perak) dan Mohammad Hafiz Abdul Kadir, 27 (Kuala Lumpur).

Turut menyertainya Abdul Jabbar Mohammed Kahar, 28 (Selangor), Megat Mohd Zaid Megat Azmuddin, 26 (Perak), Mohammad Azri Nami Mohd Kamal, 21 (Johor) dan Abdul Rahman Naufal Mohd Hatta, 21 (Johor).

Imam Muda musim ketiga bakal dihoskan oleh Akhil Hayy.

iklan

iklan

Iklan