Izzue Islam Bukan Mahu 'Cantas' Populariti Anggota Forteen

Diterbitkan: Selasa, 15 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Izzue Islam
Izzue Islam

KUALA LUMPUR: Pelakon dan juga ahli kumpulan Forteen iaitu Izzue Islam menolak tuduhan penglibatannya sebagai pelakon selain bergelar penyanyi kerana mahu lebih menonjol berbanding anggota kumpulan yang lain.

Izzue atau nama sebenarnya Muhammad Izzul Islam Mazlan, 22, berkata dia tidak pernah terfikir untuk 'mencantas' tiga lagi ahli Forteen iaitu One, Ameer dan Ariz kerana pada hakikatnya dia sudah menceburi dunia lakonan terlebih awal sebelum menyertai kumpulan itu.

“Saya kurang setuju jika ada yang dakwa saya aktif berlakon kerana mahu lebih menonjol berbanding ahli-ahli Forteen yang lain.

“Orang masih keliru dan tersalah faham. Kalau hendak tahu, saya sudah berlakon terlebih dahulu sebelum menyertai Forteen lagi,” katanya ketika ditemui mStar Online.

Pelakon drama bersiri Jangan Ambil Padang Kami ini berkata, sebagai orang baru, dia masih lagi mencari peluang terbaik bagi memantapkan profil karier.

“Genap setahun saya bersama Forteen dan KRU Music, saya melihat ia adalah keputusan yang berbaloi. Saya berpeluang untuk berkembang dan mencuba bidang nyanyian dan lakonan.

“Sampai hari ini saya masih belum dapat memutuskan mana satu yang terbaik kerana kedua-dua bidang itu adalah impian saya,” katanya.

Izzue yang mula dikenali menerusi filem Songlap pada tahun lalu, bakal muncul dalam dua buah filem pada tahun ini iaitu 29 Februari dan Hantu Kapcai.

Dia juga terlibat dalam filem Ular dan Chikaro yang akan ditayangkan pada 2013.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan