Tam (Spider) Terkejut Klip Video Dituduh Tiru Filem Pendek

Diterbitkan: Isnin, 14 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Tam akui terkejut klip video terbaru kumpulan Spider mirip sebuah filem pendek berjudul Signs.
Tam akui terkejut klip video terbaru kumpulan Spider mirip sebuah filem pendek berjudul Signs.

PETALING JAYA: Vokalis kumpulan Spider, Tam mengakui terkejut apabila konsep klip video terbaru kumpulan itu berjudul Tapi Bagaimana mirip sebuah filem pendek berjudul Signs.

Tam berkata, persamaan itu disedari apabila dia membuat perbandingan selepas ramai mendakwa mereka meniru konsep filem pendek berkenaan.

"Masa mula-mula tengok hasil klip video tersebut ingat ia adalah adaptasi daripada filem pendek berkenaan tetapi ia sebenarnya memang sama.

"Sebagai artis saya memang rasa terkilan sedikit dengan persamaan itu kerana saya mengharapkan sebuah hasil yang asli daripada pihak produksi," ujarnya kepada mStar Online pada Ahad.

Tam diminta mengulas apabila klip video terbaru mereka itu dikatakan meniru konsep dan jalan cerita filem pendek tersebut yang diarahkan oleh Patrick Hughes pada 2009.

Dalam pada itu, Tam berkata, pada awalnya dia tidak menyukai idea dan jalan cerita klip video berkenaan semasa ia dibentangkan oleh syarikat produksi Rotikaya Entertainment dan Universal Music Malaysia.

Tam berkata, dia bagaimanapun memberikan kebebasan penuh kepada pengarahnya iaitu Khairul Hazwan untuk menentukan jalan cerita dan konsep yang mahu ditampilkan.

"Mereka adalah sekumpulan anak muda yang pertama kali ingin mengarahkan klip video dan saya teruja dengan kesungguhan mereka.

"Walaupun kurang menggemari dengan idea asalnya saya bersetuju kerana yakin dengan semangat mereka. Namun tidak sangka pula idea Tapi Bagaimana adalah persamaan sebuah filem pendek," katanya.

Bagaimanapun Tam tidak menafikan persamaan yang terdapat terhadap kedua-dua karya itu telah memberikan publisiti percuma kepada klip video berkenaan.

"Setakat tiga hari ia dilancarkan telah mendapat lebih 30,000 penonton dan itu adalah satu perkara baik walaupun lagu berkenaan telah lama dikeluarkan," katanya.

Sementara itu, Ketua Pembangunan dan Strategi Perniagaan Rotikaya Entertainment iaitu Nor Hamzie Hambali ketika dihubungi menyifatkan persamaan Tapi Bagaimana dan Signs adalah satu kebetulan.

"Pada asasnya pihak kami tidak menyedari pun tentang kewujudan filem pendek tersebut yang didakwa sama dengan Tapi Bagaimana dan ia hanya kebetulan," ujarnya.

Nor Hamzie berkata, jalan cerita klip video itu dihasilkan berdasarkan lirik lagu tersebut tanpa menciplak mana-mana karya sedia ada.

Tambah Nor Hamzie, pihaknya bagaimanapun tidak terkilan dengan dakwaan tersebut namun akan memastikan mereka akan lebih berhati-hati dalam menghasilkan sesuatu karya supaya tidak dikatakan meniru produk sedia ada.

"Dalam jalan cerita klip video itu bukannya semua nampak seperti diciplak cuma sebahagian sahaja yang nampak seperti filem pendek berkenaan tanpa disangka dan ia hanya kebetulan," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan