Konsep Ceria & Lagu Terbaik Rahsia Peningkatan Suria FM

Diterbitkan: Sabtu, 12 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Barisan penyampai Suria FM bersama Ketua Pegawai Penyiaran Kumpulan Star Radio, C.K. Tan (lima, kiri), Timbalan Ketua Pegawai Operasi Suria FM Yusry Abu Samah (enam, kiri) dan Pengurus Operasi Suria FM, Subarma Mokhtar (lima, kanan) pada majlis kesyukuran radio itu di Restoran Puteri sini, Jumaat. - Foto oleh RICKY LAI
Barisan penyampai Suria FM bersama Ketua Pegawai Penyiaran Kumpulan Star Radio, C.K. Tan (lima, kiri), Timbalan Ketua Pegawai Operasi Suria FM Yusry Abu Samah (enam, kiri) dan Pengurus Operasi Suria FM, Subarma Mokhtar (lima, kanan) pada majlis kesyukuran radio itu di Restoran Puteri sini, Jumaat. - Foto oleh RICKY LAI

PETALING JAYA: Suria FM percaya tema keceriaan dan lagu-lagu terbaik merupakan resipi kejayaan stesen radio itu meningkat secara mendadak kepada 2.9 juta pendengar berbanding 2.3 juta pada tahun lalu bagi tempoh pengukuran pendengar radio Nielson, liputan pertama 2012.

Timbalan Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Yusry Abu Samah berkata formula berkenaan terbukti berkesan dalam menarik lebih ramai pendengar bagi tempoh dua tahun berturut-turut.

“Konsep ceria dan putaran lagu-lagu era 90-an dan terbaik yang kami perkenalkan terbukti berjaya menarik perhatian lebih ramai pendengar untuk mengikuti Suria FM sejak dua tahun lalu.

“Selain itu, kekerapan kami mengadakan pelbagai aktiviti seperti siri jelajah, konsert dan pertandingan dari masa ke semasa ternyata mendekatkan lagi kami dengan pendengar,” katanya kepada mStar Online, Jumaat.

Yusry ditemui pada majlis kesyukuran dan sidang media pencapaian terbaru radio tersebut yang berlangsung di Restoran Puteri, Kampung Sungai Penchala di sini, Jumaat.

Pada liputan pertama 2012 untuk kaji selidik bermula 19 Mac 2012 hingga 15 April 2012, Suria FM turut mengungguli kedudukan bagi kategori jumlah masa mendengar (TSL) di kalangan radio swasta bahasa Malaysia dengan peningkatan sebanyak 17 peratus.

Stesen radio itu juga mencatatkan peningkatan jumlah pendengar tertinggi sebanyak 44 peratus berbanding stesen-stesen radio swasta yang lain.

Yusry berkata, pihaknya kini mensasarkan untuk mengukuhkan lagi pengisian dan persembahan mereka bagi melonjakkan kedudukan Suria FM ke tahap yang lebih tinggi.

“Kami masih baru, lebih kurang lima tahun tetapi kami berbangga dengan pencapaian yang memberangsangkan ini. Dalam tempoh setahun jagung ini, Suria FM terus meningkat kerana sokongan pendengar.

“Kini kami berdepan cabaran yang lebih besar untuk melonjakkan Suria FM ke kedudukan yang lebih tinggi atau sekurang-kurangnya selaras dengan stesen swasta bahasa Malaysia lain yang sudah berpengalaman berbelas-belas tahun berbanding kami,” jelasnya.

Segmen Ceria Pagi di Suria yang dikemudi oleh Halim Othman, Nabil Ahmad dan Kenchana Devi turut meningkat sebanyak 25 peratus iaitu 1.3 juta pendengar berbanding 1 juta pendengar pada tahun lalu.

Lebih membanggakan apabila segmen Ceria Petang di Suria kendalian Linda Onn mengungguli slot petang di kalangan stesen radio swasta dengan peningkatan sebanyak 25 peratus iaitu 1.5 juta pendengar.

Turut menyerikan majlis adalah Ketua Pegawai Penyiaran Kumpulan Star Radio, C.K. Tan, pasangan pendakwah bebas Wan Akashah dan isteri Datuk Siti Nurbahiyah, barisan penyampai Suria FM, artis-artis seperti Abby Abadi dan Hafiz Hamidun dan wakil media.

Majlis yang diiringi solat Maghrib berjemaah, doa selamat, tahlil dan tazkirah bersama pasangan penceramah itu turut meraikan anak-anak yatim dari Pusat Jagaan Lambaian Kasih, Sungai Penchala.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan