Siti Sarah Tak Yakin Menyanyi Selepas Bersalin

Diterbitkan: Jumaat, 11 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)
Siti Sarah Raisudin. Foto SHAARI CE MAT
Siti Sarah Raisudin. Foto SHAARI CE MAT

PETALING JAYA: Sejak melahirkan anak pertama, Uwais Alqarni, pada Disember tahun lalu, penyanyi Siti Sarah Raisuddin mengakui dia kurang yakin untuk merakamkan lagu baru buat masa ini.

Sarah berkata, dia merasakan vokalnya kurang mantap seperti sebelum ini dan hal itu mungkin terjadi kerana kesan daripada melakukan pembedahan ketika melahirkan Uwais.

"Buat masa ini, saya belum bersedia untuk menyanyi walaupun bakal muncul dengan 'single' lagu terbaru yang masih lagi sedang dalam pembikinan oleh komposer Aidit Alfian.

"Memang saya rasa vokal kurang mantap. Sukar untuk saya gambarkan bagaimana rasanya ketika merakamkan suara, tak macam dulu. Perut saya seperti berangin saja.

"Walaupun orang kata menjadi perkara normal untuk seorang wanita yang lepas bersalin, salah tanggapan itu kerana vokal yang bagus mampu bertahan sehingga usia 63 tahun jika tahun teknik penjagaannya," katanya.

Tambah Sarah, dia berharap vokalnya kembali mantap sebelum merakamkan lagu tersebut.

Sementara itu, ditanya bagaimana kehidupannya sejak lima bulan bergelar ibu, Sarah cukup bahagia dan seronok menjaga anak kecilnya itu bersama suami, Shuib (Sepah).

"Setiap kali melihat wajah Uwais, saya rasa bersyukur sangat kerana memilikinya. Malah walaupun masih kecil lagi, dia sudah pandai mengambil hati saya dan Shuib.

"Selamatlah, dia tidak banyak ragam apabila saya dan Shuib sibuk bekerja, tetapi apabila dia bersama saya, bukan main lagi dia nakkan perhatian," seloroh pelakon filem Man Sewel Datang KL ini.

Man Sewel Datak KL bakal menemui penonton bermula 31 Mei ini.

iklan

iklan

Iklan