Sammy Perit Dipecat Kerispatih Berbanding Meringkuk Dalam Penjara

Diterbitkan: Rabu, 9 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Sammy Simorangkir menunjukkan cekera padat album solo terbarunya.
Sammy Simorangkir menunjukkan cekera padat album solo terbarunya.

KUALA LUMPUR: Bekas vokalis kumpulan Kerispatih dari Indonesia, Sammy Simorangkir berkata pengalaman dipecat kumpulan itu adalah lebih perit daripada tempoh ditahan di dalam penjara selama enam bulan atas kesalahan memiliki dadah pada tahun lalu.

Sammy atau nama sebenarnya Hendra Samuel Simorangkir, 30, berkata walaupun pengalaman berada di dalam penjara pasti dianggap sebagai satu detik hitam bagi sesiapa pun, dia berjaya menyesuaikan diri dengan keadaan itu.

"Hakikatnya saya berjaya menyesuaikan diri dengan kehidupan sebagai tahanan. Selepas seminggu dua keadaan tidak serumit yang disangka.

"Namun saya lebih terkesan dan perit apabila ditinggalkan bekas kumpulan saya sendiri iaitu Kerispatih gara-gara penahanan itu," katanya kepada mStar Online.

Sammy ditemui pada pelancaran album solo pertamanya berjudul Aku Kembali di Seduction Club & Live Bar di sini, petang Selasa.

Sammy yang mendapat jolokan penyanyi solo lelaki terbaik oleh media Indonesia itu dipecat daripada Kerispatih pada 8 Februari 2010 kerana kesalahan menggunakan dan memiliki dadah jenis syabu.

Menyambung perbualan, Sammy berkata sehingga kini dia masih trauma dan kurang berkeyakinan untuk memulakan kerjaya sebagai penyanyi solo walaupun sudah diisytiharkan bebas dadah.

"Jujurnya saya masih dibelenggu trauma dan kurang berkeyakinan untuk bergerak solo. Saya ambil masa selama lima bulan untuk bangkit semula.

"Namun saya tidak menyimpan dendam. Saya hanya doakan yang terbaik untuk perjuangan Kerispatih bersama vokalis baru mereka dan berharap kerjaya solo saya juga berkembang," ujarnya.

Sammy berkata penghasilan album solo pertamanya itu melambangkan kemunculan semulanya dalam dunia muzik.

"Saya perlu sematkan minda yang kuat dan sihat serta bergaul dalam persekitaran yang positif bagi memperoleh kekuatan untuk mengeluarkan album.

"Syukur, setakat ini perjuangan sebagai penyanyi solo mendapat sokongan yang baik daripada peminat," akuinya.

Album Aku Kembali memuatkan 12 buah lagu antaranya Sedang Apa Dan Di Mana, Aku Kembali, Kesedihanku dan Bunda.

Album terbitan Tropic Jaya ini sudah berada di pasaran sejak Isnin lalu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan