Kerana Percaya, Awal Tidak Sekat Kerjaya Scha

Diterbitkan: Ahad, 6 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Awal Ashaari dan isterinya Scha Al Yahya pada majlis pernikahan mereka di Putrajaya, malam Jumaat.
Awal Ashaari dan isterinya Scha Al Yahya pada majlis pernikahan mereka di Putrajaya, malam Jumaat.

PUTRAJAYA: Pelakon dan pengacara, Awal Ashaari memberitahu tidak akan menyekat kerjaya seni isterinya iaitu Scha Al-Yahya selepas kedua-dua mereka bergelar suami isteri.

Awal berkata, dia meletakkan kepercayaan penuh terhadap isterinya itu dan yakin Scha tahu batasannya sebagai isteri orang.

"Tiada sebab mengapa saya perlu menghalang kerjaya seni isteri saya kerana sebelum berkahwin pun memang itu kerjayanya.

"Saya menaruh keyakinan penuh Scha akan menjaga diri dan lebih peka terhadap tawaran yang diterimanya selepas ini," ujarnya kepada mStar Online.

Pasangan itu selamat bernikah dalam satu majlis yang diadakan di Hotel Pullman, Putrajaya dekat sini pada Jumaat lalu.

Dalam pada itu, Scha berkata, dia akan mengikut jadual suaminya sebelum menerima sebarang tawaran berlakon selepas ini untuk memastikan dia sentiasa berada di sisi suaminya jika Awal tidak mempunyai sebarang komitmen.

"Kalau tak ikut jadual Awal takut nanti jadual kami akan bercanggah yang akhirnya menyebabkan kami tidak dapat meluangkan masa bersama," katanya.

Sementara itu, Scha berkata dia dan Awal sudah bersedia untuk menimang cahaya mata namun menyerahkan perkara itu kepada ketentuan Ilahi.

Scha berkata, dia tidak meletakkan sebarang bilangan anak yang diinginkan namun suka untuk mempunyai sebuah keluarga yang besar.

"Awal dan saya datang daripada keluarga yang besar dan tidak kisah jika diberikan anak yang ramai," katanya.

Dalam perkembangan lain, Awal memberitahu mereka akan berangkat ke New York selama 10 hari selepas majlis resepsi yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Ahad.

Awal berkata sejurus kembali ke tanah air mereka berdua akan kembali bekerja seperti biasa.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan