D.J Dave Pilih Dayang Kerana Bakat & Disiplin

Diterbitkan: Sabtu, 5 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

D.J Dave (kiri) bakal berduet dengan Dayang dalam lagu Segalanya yang pernah dinyanyikan bersama Liza Aziz pada konsert Journey Through Song - Ingin Bersua D.J Dave pada 1 hingga 3 Jun depan. - Foto oleh RAYMOND OOI
D.J Dave (kiri) bakal berduet dengan Dayang dalam lagu Segalanya yang pernah dinyanyikan bersama Liza Aziz pada konsert Journey Through Song - Ingin Bersua D.J Dave pada 1 hingga 3 Jun depan. - Foto oleh RAYMOND OOI

PETALING JAYA: Penyanyi legenda Datuk D.J Dave memilih untuk berduet dengan Dayang Nurfaizah kerana sikap positif dan komitmen wanita itu yang disifatkannya sebagai antara penyanyi terbaik di negara ini.

D.J Dave atau nama sebenarnya Irwan Shah Abdullah, berkata berdasarkan pengamatannya selepas beberapa kali berduet dalam persembahan pentas sebelum ini, Dayang mempunyai kualiti seorang bintang yang tidak dimiliki oleh penyanyi-penyanyi wanita lain.

Penyanyi berusia 64 tahun itu memberitahu, dia tidak perlu berfikir dua kali untuk mempelawa Dayang sebagai teman duet dalam lagu Segalanya (duet asal bersama Liza Aziz) pada konsert Journey Through Song - Ingin Bersua D.J Dave pada Jun depan.

“Saya mengagumi vokal Dayang sejak mula mengenalinya beberapa tahun lalu. Standard vokalnya adalah seperti penyanyi antarabangsa dan dia mempunyai penjiwaan yang baik pada lagu-lagu nyanyiannya.

“Apa yang lebih menarik perhatian saya adalah Dayang mempunyai disiplin dan komitmen yang tinggi sebagai seorang penyanyi,” katanya ketika ditemui mStar Online di Menara Star, di sini, Jumaat.

Konsert mega terakhir D.J Dave itu diadakan bersempena meraikan 40 tahun pembabitannya dalam arena nyanyian. Ia bakal berlangsung pada 1 hingga 3 Jun depan di Panggung Sari, Istana Budaya.

Menyambung perbualan, D.J Dave berkata dia semakin berkobar-kobar melakukan persiapan rapi menjelang konsert bersejarah itu.

“Saya sangat teruja menjelang konsert itu. Ia adalah kemuncak kerjaya saya selepas 40 tahun bergelar penyanyi.

“Bagi persiapan sendiri, saya giat menjalankan latihan vokal dan bersenam untuk mengekalkan stamina. Aspek persiapan teknikal, pentas dan lain-lain juga dirancang dengan teliti,” jelasnya.

Dalam pada itu, Dayang,30, pula berkata jemputan daripada D.J Dave adalah satu penghargaan yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

Akuinya, biarpun mereka pernah berduet beberapa kali, persembahan pada konsert kali ini membuatkan dia berdebar-debar kerana tidak mahu menghampakan kepercayaan penyanyi veteran itu.

“Memang saya sudah biasa berduet dengan Datuk, pada kali ini saya agak risau juga kerana versi asal lagu itu dinyanyikan oleh Liza Aziz yang mempunyai julat suara yang besar dan tinggi.

“Namun, saya akan cuba menyampaikan lagu Segalanya itu dengan stail sendiri tetapi masih tidak lari daripada lenggok versi asalnya.,” katanya.

Selain Dayang, konsert itu turut menampilkan penyanyi Uji Rashid dan Marsha, selain komposer S. Atan sebagai pengarah muzik.

Para peminat yang membeli tiket-tiket berharga RM183, RM253, RM303 dan RM453 turut berpeluang untuk memenangi tiket penerbangan tajaan AirAsia.

16 pembeli tiket yang bertuah akan diumumkan pada penghujung konsert bagi ketiga-ketiga malam itu.

Konsert anjuran Shahdave Entertainment itu mendapat sokongan penaja seperti Celcom, Sogo, Hotel Concorde, AirAsia dan Hard Rock Cafe.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan