Dira Abu Zahar Dilarang Sertai Promosi 'Chow Kit'

Diterbitkan: Jumaat, 4 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Dira Abu Zahar
Dira Abu Zahar

PETALING JAYA: Pengacara Dira Abu Zahar menerima keputusan pihak Primeworks Studios yang tidak membenarkan dia terlibat untuk rangka promosi filem Chow Kit gara-gara dakwaan insiden pergaduhannya di pusat hiburan pada bulan lalu.

Dira atau nama sebenarnya Khaidirah Abu Zahar, 28, berkata walaupun berasa sedih kerana tidak dapat menjayakan promosi filem pertama lakonannya itu secara rasmi, dia menghormati keputusan tersebut.

“Ini adalah filem pertama saya tetapi malangnya saya tidak terlibat dalam rangka promosi atas keputusan pihak pengurusan studio berkenaan.

“Saya tidak terkilan atau kecewa dengan keputusan itu. Saya tidak mahu berfikiran negatif dan mempersoalkan alasan di sebalik keputusan tersebut.

“Cuma saya melihat keputusan mereka (penerbit) tidak mengadakan pra tonton itu tidak adil buat para pelakon lain kerana mereka berhak untuk menghebahkan mengenai filem ini,” luahnya kepada mStar Online.

Pada awal bulan lalu, Dira dikaitkan dengan dakwaan kes pergaduhan di sebuah pusat hiburan di Kuala Lumpur sehingga mencetuskan kontroversi.

Dia didakwa mencederakan seorang wanita selepas berlakunya salah faham di dalam pusat hiburan terbabit.

Bagaimanapun, Dira menafikan tuduhan tersebut.

Bercerita lanjut, Dira berkata dia tidak menolak kemungkinan kontroversi berkenaan mampu menyuntik keinginan kepada masyarakat untuk menonton mutu kerjanya dalam filem itu.

“Kalau ia (kontroversi) membantu mempromosikan filem ini, mengapa tidak? Lagipun, filem ini tidak mengadakan pra tonton bersama media terlebih dahulu sebelum ia ditayangkan kepada umum.

“Dengan promosi yang terbatas dan sederhana ini, saya tiada masalah jika orang mahu menonton Chow Kit kerana kontroversi yang dikaitkan dengan saya,” jelasnya.

Ditanya mengenai impak kontroversi itu sehingga dia direhatkan buat sementara sebagai pengacara Melodi, Dira enggan mengulas lanjut dan menerimanya dengan hati terbuka.

Namun, katanya dia baru sahaja memperbaharui kontrak dengan program itu untuk tempoh sehingga hujung tahun ini.

“Saya tidak mahu cakap banyak. Apa yang dimaklumkan, pihak pengurusan TV3 merehatkan saya ekoran kontroversi itu.

"Kalau ditakdirkan karier saya dengan Melodi akan berakhir kerana kes itu, saya terima tetapi buat masa ini tiada perkembangan terkini mengenai status saya,” katanya.

Chow Kit menyingkap dua kisah berbeza yang berlatarbelakangkan realiti kehidupan di bandar kecil tersebut.

Diarahkan oleh Rosihan Zain (Dhojee) dan Brando Lee, filem ini turut dibintangi antaranya Beto Kusyairy, Yasmin Hani, Izzam Syafiq dan Nam Ron.

Ia ditayangkan di pawagam bermula 3 Mei.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan