PTVM Adakan Piket Jika Stesen TV Tidak Endahkan Tuntutan

Diterbitkan: Khamis, 3 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Para pelakon dan krew produksi mendesak supaya harga beli penerbitan drama dan telefilem  dinaikkan. Foto ROHAIZAT MD DARUS
Para pelakon dan krew produksi mendesak supaya harga beli penerbitan drama dan telefilem dinaikkan. Foto ROHAIZAT MD DARUS

KUALA LUMPUR: Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) memberikan tempoh masa selama dua minggu kepada stesen televisyen (TV) swasta iaitu Media Prima dan Astro untuk memberi maklum balas dan berbincang mengenai isu bayaran rendah terhadap pihak penerbit.

Presidennya, Jurey Latiff Rosli berkata, jika hal tersebut tidak diendahkan, pihak PTVM bersama-sama dengan para penggiat seni lain akan mengadakan piket di depan premis stesen TV berkenaan.

"Jika pihak Media Prima dan Astro masih lagi tidak mengendahkan tuntutan yang diusulkan, maka kami tiada pilihan lain melainkan mengadakan piket di depan premis mereka.

"Dah lama kami bangkitkan isu ini tetapi mereka (stesen TV) seperti tidak mengendahkan suara kami," katanya pada sidang akhbar 'Kemelut Harga Pembelian Program TV' di Saloma Bistro, di sini, Rabu.

Pada awal Mac lalu, PTVM meminta kerajaan mengeluarkan garis panduan kepada semua pemilik stesen TV di negara ini supaya dapat menyelaraskan kadar pembelian program-program TV yang tidak pernah berubah sejak tahun 1995.

Sejak tahun 1995, harga pembelian program TV dikeluarkan mengikut kehendak stesen televisyen masing-masing.

Bagi sebuah telefilem, sebut harga di RTM (Radio Televisyen Malaysia)adalah di antara RM100,000 hingga RM110,000, Media Prima (RM85,000 hingga RM89,000) dan Astro pula meletakkan harga RM80,000 hingga RM90,000.

Untuk drama 60 minit pula, penerbit akan mendapat bayaran sebanyak RM40,000 hingga RM45,000 untuk RTM, Media Prima (RM35,000 hingga RM40,000) dan Astro (RM35,000 hingga RM40,000).

Tambah Jurey, pihaknya hanya meminta untuk menaikkan 30 peratus daripada sebut harga asal sahaja dan jika enggan, sekurang-kurangnya harga yang ditawarkan selari dengan tawaran harga di RTM.

Bagaimanapun, pihak Media Prima memberi maklum balas dengan menjelaskan bayaran harga kepada para epnerbit meningkat setiap tahun dan kenyataan yang dibuat oleh PTVM adalah tidak benar.

Dalam pada itu, PTVM agak terkilan apabila pihak kerajaan seperti kurang peka dan tidak mengambil endah mengenai perkara ini.

"Walaupun pihak kami mengusulkan tuntutan berkenaan, sehingga kini kami tidak mendapat sebarang maklum balas.

"Cuma, pihak kami hanya menerima surat daripada SKMM (Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia) untuk berjumpa, tetapi ia terus senyap tanpa khabar berita," ujarnya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan