Dang Suria Tiada Niat Tinggalkan Dunia Penyiaran

Diterbitkan: Rabu, 2 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Dang Suria ingin lebih memberi tumpuan kepada keluarga.
Dang Suria ingin lebih memberi tumpuan kepada keluarga.

PETALING JAYA: Bekas personaliti Astro Awani, Dang Suria Zainuddin menjelaskan dia tidak pernah berniat untuk meninggalkan dunia penyiaran sepenuhnya walaupun telah beralih kepada kerjaya baru.

Dang Suria berkata, dia masih terlibat dalam dunia penyiaran cuma tidak mahu terikat dengan mana-mana stesen buat masa ini.

"Saya tinggalkan bidang penyiaran adalah kerana ingin memberikan tumpuan kepada keluarga dan anak-anak yang sedang membesar kerana bekerja dalam sektor ini memerlukan masa yang panjang.

"Pada usia dan komitmen sekarang saya perlu membuat keputusan dan keluarga menjadi keutamaan saya," katanya kepada mStar Online.

Tambah Dang Suria, kerjaya baru yang disandang sekarang iaitu sebagai pegawai perhubungan awam di sebuah hotel terkemuka di ibu negara sejak setahun lalu telah banyak memberikannya ruang untuk bersama keluarga terutama pada hujung minggu.

"Dulu memang jarang dapat bercuti pada hujung minggu dan erti balik kampung untuk balik berhari raya memang tiada kerana tahu akan berkerja pada hari tersebut.

"Bagaimanapun kerjaya baru ini banyak memberi ruang kepada saya walaupun banyak perkara baru yang perlu saya belajar. Sekurang-kurangnya masa bersama suami dan anak-anak tidak terabai," katanya.

Dalam pada itu, Dang Suria memberitahu dia bakal muncul sebagai pengacara untuk sebuah program di Astro dalam masa terdekat.

Dang Suria memberitahu, itu adalah sebagai bukti dia tidak pernah meninggalkan dunia penyiaran yang dicintainya sejak sekian lama selain tidak menggangu jadual hariannya.

"Saya sudah berada dalam industri ini selama 15 tahun dan tidak mungkin meninggalkannya begitu saja dan kembalinya saya untuk mengacarakan program tersebut bagi mengubat kerinduan saya," katanya.

Sementara itu bercakap mengenai penglibatannya sebagai tenaga pengajar program On Air, Dang Suria memberitahu dia akan lebih menekankan kepada jenama para peserta itu dan meneliti kekuatan mereka secara individu.

Walaupun dia ada menerima pelbagai komen negatif mengenai kemunculannya dalam program tersebut sebelum ini, Dang Suria berkata dia hanya menjalankan tugas dan berlaku jujur tanpa niat lain.

"Tiada niat untuk saya menjatuhkan sesiapa tetapi hanya berlaku jujur selain berkongsi pengalaman saya sebagai orang lama.

"Bagi saya seseorang yang ada niat baik kepada seseoang itu sahaja akan bersikap jujur dengan kata-katanya.

"Jadi komen dan nasihat saya itu hanya untuk menjadi kawan yang baik kepada mereka dan bukan berpura-pura atau pun hipokrit," katanya.

Siaran pertama On Air akan dimulakan dengan Diari On Air di Astro RIa (saluran 104) pada setiap Rabu hingga Sabtu bermula 23 Mei ini, pukul 10 malam.

Studio On Air pula bakal bersiaran selama lapan minggu di Astro Ria pada setiap Ahad bermula 27 Mei ini, pukul 10 malam.

iklan

Kolumnis

iklan

Produk Berkaitan

Iklan