Pelakon Filipina, Dingdong Dantes Mahu Kembang Bakat Di Malaysia

Diterbitkan: Sabtu, 28 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Dingdong Dantes terkejut apabila mengetahui mempunyai ramai peminat di Malaysia. - Foto IBRAHIM MOKHTAR.
Dingdong Dantes terkejut apabila mengetahui mempunyai ramai peminat di Malaysia. - Foto IBRAHIM MOKHTAR.

PETALING JAYA: Pelakon drama bersiri popular Endless Love dari Filipina iaitu Dingdong Dantes tidak akan berfikir panjang jika ada pihak produksi di negara ini yang mahu mengambilnya berlakon.

Dingdong Dantes berkata, jika ia berlaku itu adalah peluang keemasan buat dirinya sebagai pelakon luar untuk bekerjasama dengan pelakon dan produksi tempatan.

"Sudah tentu saya akan terima tanpa perlu berfikir panjang kerana itu adalah satu peluang keemasan buat saya untuk mengembangkan kerjaya seni di negara ini.

"Saya juga rasa ia akan memberikan kebaikan kepada industri seni di rantau Asia kerana kita saling bekerjasama antara satu sama lain dan hasilnya dapat ditonton oleh semua peminat," katanya kepada mStar Online ketika ditemui di Sri Pentas di sini, pada Jumaat.

Dingdong Dantes atau nama sebenarnya, Jose Sixto Raphael Gonzalez Dantes III didatangkan khas oleh TV3 untuk mempromosikan drama Endless Love lakonannya di samping beramah mesra dengan peminat.

Pelakon itu juga akan membuat kemunculan pada Karnival Jom Heboh di Stadium Indera Mulia, Ipoh, Perak bermula Jumaat dan Sabtu.

Dingdong Dantes akan berada di gerai “Wanita Inspirasiku” untuk beramah mesra dengan para peminatnya.

Dalam pada itu, Dindgong Dantes berkata, dia amat terkejut apabila mengetahui drama lakonannya seperti Marimar, Jessebell dan beberapa yang lain amat popular di negara ini dan sekali gus telah menaikkan popularitinya.

Dia juga tidak pernah menyangka akan mencipta nama di negara ini dan terharu dengan sokongan para peminat.

"Jujurnya saya terkejut dengan penerimaan masyarakat Malaysia terhadap saya dan telah membuatkan saya lebih bersemangat untuk memberikan yang terbaik untuk mereka semua," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai hubungan cintanya dengan Marian Rivera, Dindgdong Dantes berkata, dia menunggu masa sesuai untuk melamar kekasihnya itu.

Kata Dingdong Dantes, dia tidak mahu terburu-buru dan membiarkan perkara itu berlaku secara semula jadi.

"Sejujurnya saya selesa bercinta dengannya dan kesibukan dengan kerjaya masing-masing tidak pernah membatasi perhubungan kami.

"Kami sering melakukan aktiviti bersama-sama seperti menunggang motosikal berkuasa tinggi dan melancong," katanya.

Bagaimanapun dia tidak menafikan kadang kala berasa cemburu dengan kekasihnya itu apabila melihat aksinya di samping pelakon lelaki lain ketika menjayakan sesebuah filem atau drama.

"Sudah tentu saya cemburu tetapi bukanlah terlalu serius kerana saya sendiri sebagai pelakon memahami situasinya," katanya.

Drama Endless Love sedang ditayangkan sejak 9 April lalu setiap hari Isnin hingga Khamis pukul 3 petang di slot Telenovela.

Ia merupakan adaptasi siri drama Korea, Autumn In My Heart yang pernah popular suatu ketika dahulu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan