Latar Belakang 1Malaysia Keunikan 'Iamneeta'

Diterbitkan: Sabtu, 28 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)
Kumpulan
Kumpulan "Iamneeta". (Dari kiri) Anas, Neeta dan Patrick

PETALING JAYA: Kumpulan baru dalam dunia muzik, “Iamneeta” (disebut I-am-neeta) mengakui minat terhadap bidang muzik berjaya menyatukan perbezaan agama dan latar belakang mereka untuk menubuhkan sebuah kumpulan muzik.

Menurut vokalisnya Neeta Manisha (Neeta),18, perbezaan latar belakang itu merupakan satu keunikan dalam , “Iamneeta” dan secara langsung menyokong matlamat 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Kami melihat perbezaan latar belakang kami sebagai satu perkara menarik dan lambang kemajmukan. Tiada sepadan yang memisahkan perbezaan kami apabila kami melibatkan diri dalam bidang muzik,” katanya kepada mStar Online portal berita Bahasa Malaysia The Star.

Apa yang lebih menarik lagi ialah “Iamneeta” mencatat sejarah dalam industri muzik tanah air sebagai artis berkumpulan pertama yang popular menerusi YouTube yang dilamar untuk membuat album iaitu bernaung di bawah syarikat rakaman NAR Records.

“Platform YouTube adalah satu tuah buat kami untuk ke depan dan lebih dikenali. Setahu saya belum ada lagi kumpulan muzik di Malaysia menjadi artis rakaman menerusi laman YouTube.

“Kalau penyanyi solo memang sudah ramai. Jadi, ia adalah satu penjenamaan yang baik untuk mempromosikan kami, seiring dengan perkembangan muzik semasa,” jelas Neeta.

Neeta merupakan anak tunggal dalam keluarga daripada darah campuran India, Cina dan Siam serta fasih bertutur dalam lima bahasa iaitu Bahasa Malaysia, Inggeris, Mandarin, Hokkien dan Thai.

Dua lagi anggota kumpulan tersebut iaitu, Anas Zakwan (Anas), 19, adalah pemain gitar bass yang berbangsa Melayu, manakala pemain gitar utama Patrick Anohada (Patrick), 26, berasal dari Kota Kinabalu, Sabah dan berketurunan dari Filipina.

Bercerita mengenai pemilihan nama kumpulan itu yang diinspirasikan daripada nama Neeta, ia tidak menimbulkan sebarang masalah kerana nama itu kedengaran unik dan mudah diingati.

“Kami mengambil masa yang lama untuk memilih nama kumpulan. Ia adalah sesuatu proses yang sukar. Secara kebetulan, Neeta menggunakan nama “iamneeta” sebagai identitinya di laman YouTube ketika dia memuat naik rakaman nyanyiannya secara solo sebelum ini.

“Memandangkan ia kedengaran unik dan ringkas, kami bersetuju untuk gunakan saja nama itu,” katanya.

“Iamneeta” yang bernaung di bawah label NAR Records sejak dua bulan lalu kini popular dengan lagu pertama berjudul Tuhan Tolong Aku.

Mereka yang mempertaruhkan genre alternatif pop rock ini akan menyusul dengan tiga lagi lagu selepas ini iaitu Terima Kasih, Marry Me dan Jatuh Cinta.

iklan

iklan

Iklan