Joe Flizzow Hanya Anggap Ila Damia Seperti Adik - Berita Hiburan | mStar

Joe Flizzow Hanya Anggap Ila Damia Seperti Adik

Diterbitkan: Jumaat, 27 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Penyanyi hip hop, Joe Flizzow menegaskan hubungan akrabnya dengan penyanyi bertudung Ila Damia belum sampai ke tahap bercinta sebaliknya menganggap hubungan itu seperti seorang abang dan juga adik.

Joe yang ditemui pada pelancaran pertandingan realiti Showdown di KL Life di sini, Khamis, berkata, kedua-dua mereka mula akrab selepas Ila menjadi protegenya dalam program Mentor dua tahun lalu.

"Kami tak mungkin menjadi pasangan kekasih kerana hubungan itu sudah seperti abang dan adik.

"Walaupun ada yang bercakap-cakap tentang keakraban kami, saya lebih senang tidak bersuara supaya hal ini tidak meleret untuk dijadikan isu. Lagipun kami selesa bekerjasama dalam hal-hal muzik," katanya.

Tambah Joe, walaupun kenyataannya itu dianggap klise oleh segelintir pihak, dia tidak kisah tentang hal tersebut namun berjanji tidak akan menyimpan apa-apa rahsia sekiranya memiliki teman wanita.

Dalam pada itu, ditanya bilakah dia bakal menamatkan zaman bujang seperti rakan seperjuangannya, Malique (Too Phat) Joe mengakui belum bersedia untuk bergelar suami pada masa terdekat ini.

"Diakui saya masih solo dan belum bersedia untuk berkahwin. Banyak perkara yang saya lakukan sebelum bergelar suami.

"Kalau boleh biarlah saya bersedia untuk menjadi suami yang baik buat isteri di samping ayah yang baik buat anak-anak..

"Bayangkan ibu saya telah menetapkan masa selama dua tahun bagi mencari calon yang sesuai untuk dijadikan sebagai teman hidup," selorohnya.

Joe memberitahu dia menanam impian mahu membina keluarga bahagia seperti romantiknya hubungan ibu dan ayahnya sejak mereka mula berkahwin sehingga kini.

"Sepanjang saya membesar, belum pernah lagi saya melihat ibu dan ayah meninggikan suara sesama sendiri.

"Dan mereka merupakan ibu bapa yang terbaik untuk saya. Saya juga inginkan begitu," tuturnya

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan