DJ Dave Pakai Baju Berusia 40 Tahun Sempena Konsert

Diterbitkan: Rabu, 18 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

DJ Dave bakal mengenakan enam pasang kostum lamanya. Foto FAIHAN GHANI
DJ Dave bakal mengenakan enam pasang kostum lamanya. Foto FAIHAN GHANI

KUALA LUMPUR: Penyanyi popular 1970-an Datuk DJ Dave akan mengenakan kostum yang pernah dipakainya pada 40 tahun lalu menerusi konsert Journey Through Song, Ingin Bersama DJ Dave yang akan berlangsung pada Jun depan.

DJ Dave atau nama sebenarnya Irwan Shah Abdullah berkata, kostum-kostum tersebut dapat mengimbau kembali memori kegemilangan beliau berdasarkan lagu popular yang dibawakannya nanti.

"Pada konsert itu nanti, saya akan memakai semula kostum pada awal kemunculan saya dahulu mengikut peredaran zaman iaitu dari tahun 1970-an sehinggalah ke 1990-an.

"Ia akan mengimbas semula kenangan di zaman itu dan mungkin sebanyak enam pasang kostum yang akan digayakan.

"Kalau nak diikutkan saya mahu menayangkan kesemua 30 kostum yang masih lagi disimpan dengan rapi," katanya yang ditemui pada sidang media Konsert Journey Through Song, Ingin Bersama DJ Dave di Hard Rock Cafe, di sini, Selasa.

Konsert yang dianjurkan oleh Shahdave Entertainment itu akan diadakan di Istana Budaya selama tiga hari bermula 1 Jun 2012.

Tambah DJ Dave, memandangkan beliau ingin memakai kembali kostum-kostum itu, beliau terpaksa berusaha mengurangkan berat badannya dengan menjaga pemakanan serta melakukan senaman.

Sementara itu, konsert yang menelan belanja sebanyak RM1 juta itu dijangka akan memberi kepuasan maksimum kepada penonton kerana penyanyi itu akan membawakan sebanyak 35 lagu-lagu popular diiringi dengan 40 orang pemuzik orkestra selama dua jam.

"Konsert ini merupakan satu projek yang sangat besar dan saya ingin memuaskan semua peminat-peminat yang hadir pada malam itu nanti.

"Sebab itu saya inginkan yang terbaik buat mereka dan saya telah pun memulakan latihan sejak dua bulan yang lalu," ujarnya.

Dalam pada itu, DJ Dave akan membawakan single lagu barunya iaitu Nyawaku dan sebuah lagu saduran iaitu I Will Always Love You yang akan dinyanyikan bersama-sama dengan Marsha pada malam konsert itu nanti.

Selain Marsha, beliau turut menjemput Uji Rashid dan Dayang Nurfaizah sebagai penyanyi undangan.

Pemuzik S.Atan turut diundang.

Tiket bagi menyaksikan persembahan ini dijual dengan harga RM53, RM83, RM183, RM253, RM303 dan RM453 dan boleh didapati dengan melayari lawan web www.ticket2u.biz atau hubungi 03-41478600 atau 018-3268001.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan