Cat Farish Tidak Percaya Orang Selepas 'Ditikam Belakang'

Diterbitkan: Sabtu, 31 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi Cat Farish membuat pengakuan tidak pernah mempercayai orang di sekelilingnya dan mengambil jalan selamat dengan melakukan semua kerja-kerja seni sendirian sejak lapan tahun lalu.

Hal tersebut membuatkan Cat atau nama sebenarnya Farish Ramli mengalami hipertensi sehingga menyebabkan dia terlantar di wad selama seminggu di Tawakal pada Februari lalu.

"Benar, dahulu ketika zaman bersama-sama dengan kumpulan Ruffedge lagi saya memberi kepercayaan sepenuhnya kepada orang lain untuk buat kerja dan kemudian, saya pula yang ditikam belakang.

"Sejak kejadian itu, saya mula bekerja sendiri tanpa meminta bantuan orang lain. Semua kerja saya nak buat sendiri. Sehingga pada satu tahap, saya mendapat tekanan darah tinggi yang agak teruk," katanya.

Dalam pada itu, ahli kumpulan The Fabulous Cats ini juga ingin berterima kasih kepada Badan Pelindung Hakcipta Muzik Malaysia (MACP) yang membantunya membiayai separuh daripada kos rawatan perubatannya.

Bagaimanapun Cat berkata, selepas mendapat nasihat doktor, dia yang baru sahaja menubuhkan syarikat produksi Fantasy Films kini mula meringankan bebannya dengan mengambil pekerja untuk menaikkan nama Fantasy Films.

"Selepas lapan tahun bertungkus lumus dah tiba masanya untuk saya memimpin pula pekerja-pekerja saya.

"Alhamdulillah, apabila memberi kepercayaan kepada orang dalam menjalankan tugas yang diberi, sedikit sebanyak bebanan yang ditanggung kurang dan kesihatan saya pula semakin pulih," ujarnya.

Mengenai perkembangan lain Cat bakal memperkenalkan saluran radio bernama KL Pop, di mana lagu-lagu yang akan disiarkan kebanyakan daripada penyanyi-penyanyi daripada pelbagai program realiti.

"Tujuan penubuhan radio KL Pop adalah untuk memberi peluang kepada penyanyi-penyanyi program realiti untuk memperdengarkan lagu-lagu baru mereka kepada pendengar.

"Ini kerana, saya percaya, penyanyi seperti mereka tidak akan dipandang dan saya percaya, menerusi radio ini, mereka dapat memperkenalkan bakat mereka. Malah, penyampai radio KL Pop juga daripada kalangan yang pernah memasuki program realiti seperti Rini, Zizie dan Afiq daripada Akademi Fantasia dan DJ Krate," katanya.

Dalam perkembangan lain, Cat juga akan menerbitkan sebuah filem berbahasa Cina yang berjudul Tru Love tidak lama lagi.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan