Razali Hussein Difitnah Ternak Lembu Hasil Wang Wanita Kaya

Diterbitkan: Khamis, 22 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Razali Hussein
Razali Hussein

PETALING JAYA: Pelakon Razali Hussein kesal apabila difitnah menjalankan perniagaan penternakan lembu menerusi sumber kewangan yang ditaja oleh seorang wanita kaya.

Razali berkata, wanita yang dimaksudkan itu (enggan nama disiarkan) memang wujud tetapi dia bertindak sebagai individu yang mengajarnya selok-belok bidang perniagaan.

"Diakui, memang wanita itu wujud, tetapi dia sekadar mengajar saya dan rakan-rakan untuk menjalankan perniagaan itu. Adakah itu satu kesalahan?

"Saya kecewa apabila difitnah kononnya perniagaan saya itu ditaja. Jika begitu sudah lama saya beli kereta mewah untuk keselesaan diri sendiri," katanya yang dihubungi mStar Online di sini, Rabu.

Tambah Razali, dia kecewa apabila setiap pergerakannya sering kali menjadi bualan negatif tidak kira sama ada mempunyai hubungan akrab dengan rakan wanita mahupun lelaki.

Bagaimanapun, sebagai seorang selebriti, dia tidak kisah jika dugaan fitnah diterima dan meneruskan perniagaan dalam apa rintangan sekali pun.

"Dahulu, ketika saya membuka syarikat produksi, saya pernah difitnah sehingga syarikat itu ditutup. Kini biarlah orang nak kata apa sekalipun, semangat saya untuk maju dalam perniagaan tidak akan luntur," tegas pelakon drama Serapah Darah Bulan Madu, siaran saluran TV-Al Hijrah.

Sementara itu, bercerita mengenai perkembangan karier lakonannya, dia bersyukur kerana masih lagi diberi kepercayaan oleh syarikat produksi.

Malah, Razali turut menghasilkan sebuah lagu tema drama Serapah Darah Bulan Madu berjudul Serapah Bulan Madu nyanyiannya sendiri.

"Alhamdulillah, saya diberi peluang oleh Skop Production untuk menghasilkan lagu tema untuk drama tersebut dan menyanyi secara duet bersama Ida Majid.

"Seterusnya, saya sedang menghasilkan sebuah lagi lagu baru yang berjudul Cinta Ku Kini Tiada Lagi dan sedang mencari penyanyi yang sesuai untuk membawakan lagu tersebut," tuturnya.

Beritahu Razali lagi, dia lebih selesa mencipta lagu tema untuk terbitan drama dan menganggapnya sebagai satu strategi pemasaran andai kata stesen-stesen radio tidak memutarkan lagu-lagu baru yang dihasilkan.

iklan

iklan

Produk Berkaitan

Iklan