Bayaran Jozan RM50 Ribu Sejam Satu Fitnah - Ozlyn

Diterbitkan: Rabu, 21 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)
Isteri Johan (Raja Lawak) iaitu Ozlyn turut bertindak sebagai pengurusnya.
Isteri Johan (Raja Lawak) iaitu Ozlyn turut bertindak sebagai pengurusnya.

PETALING JAYA: Isteri kepada pelawak Johan (Raja Lawak) iaitu Ozlyn Wati menyifatkan tuduhan kononnya kumpulan Jozan yang dianggotai suaminya dan Zizan meletakkan bayaran RM50,000 untuk satu jam persembahan adalah sebagai fitnah dan mengarut.

Ozlyn yang juga pengurus kepada Johan berkata, dia terkejut dengan gosip terbaru melibatkan kedua-dua pelawak tersebut namun tidak mahu mengendahkannya kerana ia tidak benar sama sekali.

"Cerita itu tersebar mungkin disebabkan oleh sesetengah pihak yang tidak berpuas hati dengan sebut harga yang kami tetapkan. Lantas mereka mula menyebarkan cerita kononnya Johan atau Zizan mula demand dalam soal bayaran," ujarnya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini, Selasa.

Dalam pada itu, Ozlyn berkata, pihaknya tidak pernah meletakkan harga melampau kepada pihak penganjur yang inginkan khidmat Jozan sebaliknya mereka boleh bertolak ansur mengenai perkara itu.

Ozlyn memberitahu, caj yang dikenakan adalah bersesuaian dengan kualiti dan standard persembahan Jozan atas permintaan pengelola sesebuah acara.

"Sebut harga yang kita berikan kepada pihak penganjur adalah berdasarkan kepada permintaan mereka mengenai perkara yang perlu dilakukan oleh Jozan dalam sesebuah persembahan.

"Bagaimanapun harga yang diberikan masih boleh dirunding dan pihak kami selalunya akan bertolak ansur dengan permintaan penganjur," ujarnya.

Sementara itu, Ozlyn berkata, walaupun kadang-kala terpaksa menolak tawaran yang diberikan kepada Johan atau Jozan kerana harga yang tidak bersesuaian, dia selalunya akan cuba memberikan cadangan kepada penganjur untuk menawarkan peluang itu kepada pelawak lain.

Kata Ozlyn, walaupun tidak menerima sesebuah tawaran tetapi sekurang-kurangnya ia telah membuka rezeki kepada pelawak lain.

"Bukan nak menyombong atau besar diri apabila mereka sudah ada nama dalam industri tetapi kadang-kala ada sebab mengapa kita perlu menolak sesuatu tawaran yang datang.

"Bagaimanapun, selalunya saya akan cuba mencadangkan kepada penganjur untuk mengambil pelawak-pelawak lain jika sesuatu tawaran yang datang sesuai dengan majlis yang hendak dikelolakan," katanya.

Dalam perkembangan sama, dia dan suaminya yang juga penyampai Radio Era FM lebih senang untuk berdiam diri apabila timbul cerita-cerita kurang kerana tidak mahu memburukkan keadaan.

Ini kerana kata Ozlyn, apabila timbul sesuatu isu kedua-dua belah pihak sentiasa ingin mempertahankan kenyataan masing-masing yang akhirnya akan merugikan kedua-dua belah pihak.

"Rasanya lebih baik mendiamkan diri daripada mengeluarkan kenyataan yang akan memburukkan lagi keadaan. Biarlah apa orang nak kata kerana pada akhirnya hanya kami dan Allah sahaja yang tahu," ujarnya.

iklan

iklan

Iklan