Majlis Makan Malam Artis Sabah Di Shah Alam Esok

Diterbitkan: Jumaat, 16 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Sabah Nite 2012 diadakan bagi mengumpulkan semua warga negeri itu yang menetap di Lembah Klang. Foto Ihsan KEE ZAIN.
Sabah Nite 2012 diadakan bagi mengumpulkan semua warga negeri itu yang menetap di Lembah Klang. Foto Ihsan KEE ZAIN.

PETALING JAYA: Seramai sembilan orang artis kelahiran Sabah bakal mengadakan persembahan sempena Sabah Nite 2012 yang bakal berlangsung di Kompleks Belia & Kebudayaan Negeri Selangor, Shah Alam pada Sabtu ini pukul 8 malam.

Penganjur program itu, Marilyn Mona berkata, majlis makan malam itu akan turut menampilkan dua artis popular lain iaitu Janreywine dan Clarice John Mata.

"Sabah Nite ini diadakan bukan sahaja untuk mengumpulkan semua warga negeri itu yang berada di Lembah Klang tetapi juga terbuka kepada orang ramai yang ingin melihat persembahan artis kegemaran mereka dan pertunjukan kebudayaan," ujarnya kepada mStar Online.

Marilyn ditemui semasa sidang media Sabah Nite 2012 di sini pada Khamis.

Antara artis yang bakal memeriahkan majlis itu adalah Yazer, Ekin, Adam, Candy, Nira, Thye dan Alex Raja Lawak.

Marilyn berkata, pihaknya telah merancang untuk mengadakan majlis makan malam itu bagi mengeratkan lagi silaturahim warga Sabah dalam satu acara khas selain untuk beramah mesra di antara mereka bagi menguatkan lagi ukhuwah.

Katanya, sebanyak 100 buah meja untuk malam itu akan disediakan dan ia mendapat sambutan cukup menggalakkan.

"Kami memilih untuk mengadakan majlis itu di Shah Alam kerana melalui kajian yang kami buat ramai penduduk berasal dari Sabah menetap di kawasan berdekatan seperti Subang Jaya, Klang, Petaling Jaya dan Damansara.

"Ia memudahkan mereka untuk datang ke majlis tersebut. Sehingga hari ini (Khamis) hampir kesemua meja telah dibeli dan kami menjangkakan ia akan habis dijual menjelang pada hari persembahan," ujarnya yang menjelaskan makanan popular penduduk Sabah akan dihidangkan pada malam berkenaan.

Sementara itu, Marilyn memberitahu para penuntut kolej atau universiti yang berasal dari negeri berkenaan tidak perlu membayar untuk menyertai majlis itu. Bagi yang berminat untuk membuat tempahan meja boleh menghubungi talian 03-9284 2108.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan