The Job, Program Realiti 8TV Tiada Penyingkiran

Diterbitkan: Selasa, 13 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Para peserta The Job bergambar bersama pihak penaja.
Para peserta The Job bergambar bersama pihak penaja.

PETALING JAYA: Program realiti terbaru terbitan 8TV iaitu The Job melakukan kelainan apabila tidak ada penyingkiran dalam mencari calon sesuai dan berpotensi untuk menjawat jawatan korporat bersama Kolej Universiti Segi.

Pengurus Besar Kumpulan 8TV dan NTV7, Airin Zainul berkata, keputusan itu dibuat bagi memberi peluang kepada semua peserta untuk menonjolkan bakat, kebolehan dan personaliti mereka sebelum diterima bekerja.

"Ini adalah kelainan yang cuba kita tampilkan dalam The Job dengan tidak menyingkirkan peserta setiap minggu.

"Ia memberi tambah nilai kepada semua peserta untuk menyerlahkan diri masing-masing dalam mengejar impian mereka," ujarnya kepada mStar Online.

Airin ditemui selepas majlis pelancaran program tersebut di sini, Isnin.

Tambahnya, pemenang program itu hanya akan diumumkan pada minggu terakhir rancangan.

The Job bakal disiarkan pada 23 Mac ini, setiap hari Selasa di 8TV pukul 9.30 malam.

Dalam pada itu, Airin berkata, daripada beratus-ratus pemohon yang hadir untuk uji bakat, pihaknya telah memilih lapan calon berdasarkan latar belakang, personaliti serta prestasi mereka semasa di temuduga.

Lapan peserta yang terpilih adalah Ho Shin Tze, Reshma Sangvi, Yam Ee May, Ismail Amsyar Mohd Said, Mohd Zarith Md Hanapiah, Wee Kim Teong, Tareeq Azmi dan Chin Xian Mei yang berusia dalam lingkungan umur antara 20 hingga 24 tahun.

"Kami memilih dalam lingkungan umur ini adalah ingin memberi inspirasi kepada semua golongan remaja supaya mengejar cita-cita mereka.

"Menariknya program ini turut diterbitkan oleh sekumpulan anak-anak muda yang pastinya idea mereka lebih segar dan dekat dengan golongan remaja," katanya.

Tambah Airin, The Job akan dihoskan oleh Hansen Lee dari The Breaksfast Show dan Megan Tan daripada 8TV Quickie.

Kedua-dua mereka adalah antara bekas graduan cemerlang dari kolej tersebut.

Sementara itu, setiap peserta akan melalui sebanyak tujuh cabaran dengan menekankan pelbagai aspek antaranya kreativiti, penjenamaan, pemasaran, kemahiran jualan dan pengetahuan dalam organisasi.

"Melalui cabaran-cabaran ini mereka akan dinilai daripada aspek kekuatan, kemampuan serta kelemahan mereka dalam menyelesaikan sesuatu tugas," ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Airin berkata program berkenaan akan diadili oleh dua juri daripada kolej itu dan beberapa juri jemputan.

Pemenang akan menerima biasiswa pascasiswazah dan wang tunai berjumlah RM15,000 selain kontrak bekerja selama setahun bersama Kolej Universiti Segi di bahagian korporat.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan