Rabecca Berhasrat Buka Rumah Kebajikan

Diterbitkan: Selasa, 6 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Rabecca Nur Al-Islam.
Rabecca Nur Al-Islam.

PETALING JAYA: Pelakon Rabecca Nur Al-Islam berhasrat untuk membuka sebuah rumah kebajikan bagi anak-anak yatim suatu hari nanti.

Rabecca berkata, dia memasang impian itu kerana sukakan kepada aktiviti kebajikan dan ingin terlibat secara serius bagi membantu mereka yang bermasalah.

"Saya banyak terlibat dengan pelbagai aktiviti kebajikan dan sentiasa berasa gembira kerana dapat melakukannya tambahan pula jika ia melibatkan golongan anak yatim dan orang tua.

"Sebab itu saya memasang cita-cita untuk membuka rumah kebajikan atau pun sebuah yayasan supaya dapat terlibat secara serius dalam kerja-kerja seperti ini," ujarnya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Rabecca berkata dia kini lebih selektif dengan watak yang ditawarkan oleh pihak penerbit kerana ingin menjaga status dirinya sebagai seorang isteri kepada Nor Azam Sulaiman.

Ujarnya, walaupun suaminya mengizinkan dirinya untuk berlakon tetapi sebagai isterinya dia perlu tahu menjaga batasan diri.

"Rasanya tidak sesuai kalau nak bawa watak perempuan gedik dalam filem atau pun drama kerana saya perlu menjaga hati suami dan keluarga. Sebab itu saya lebih selektif dengan watak yang diberikan kepada saya," ujarnya.

Sementara itu, ditanya mengenai anak, Rabecca berkata dia sedang berusaha untuk mendapatkan anak namun rezeki masih belum menyebelahinya.

Dia juga tidak kisah dengan bilangan anak yang dikurniakan kerana sukakan kepada keluarga yang besar.

"Sekarang pun saya seronok dapat menjaga anak angkat saya iaitu Adam Daniel dan dua anak tiri yang lain," ujarnya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan