Osbon Dituduh Besar Kepala Kerana Tuntut Bayaran Tinggi

Diterbitkan: Selasa, 6 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Abon berasa 'simpati' pada pihak yang menabur fitnah dan cuba menjejaskan periuk nasinya dan kumpulan Osbon.
Abon berasa 'simpati' pada pihak yang menabur fitnah dan cuba menjejaskan periuk nasinya dan kumpulan Osbon.

PETALING JAYA: Pelawak Abon kecewa apabila kumpulan yang dianggotainya bersama Os iaitu Osbon dituduh mula besar kepala kerana meletakkan bayaran tinggi untuk sesebuah acara hiburan.

Abon atau nama sebenarnya Shahrizan Ahmad, 52, berkata dia enggan melayan dakwaan mengarut sebegitu, malah turut berasa ‘simpati’ dengan tuduhan kosong beberapa pihak yang tidak berpuas hati dengan kumpulan yang dianggotainya itu.

“Saya sangat ‘kasihan’ dengan pihak yang menuduh Osbon semakin sombong dan menetapkan harga bayaran yang tinggi bagi persembahan kami. Tiada istilah atau komen lanjut yang sesuai untuk perkara seperti ini.

“Saya tahu perkara ini tersebar kerana perasaan tidak puas hati segelintir pihak apabila permintaan mereka tidak dapat kami penuhi atas sebab-sebab tertentu,” katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Isnin.

Pelawak itu diminta mengulas khabar angin mengatakan mereka mula “demand” apabila meletakkan harga tinggi untuk sesebuah majlis selepas menjadi juara rancangan Maharaja Lawak Mega (MLM) terbitan Astro sebelum ini.

mStar Online dimaklumkan sebuah agensi kerajaan terkejut apabila salah seorang di antara mereka dikatakan meletakkan kadar sehingga RM14,000 untuk terlibat selama sejam sebuah acara di Pagoh, Johor minggu lalu.

Kumpulan itu juga dikatakan bertanya mengenai bayaran apabila sebuah syarikat akhbar ingin menjemput mereka melayan peminat menerusi segmen “cit cat” portal berita syarikat berkenaan.

Abon berkata, sebagai pelawak yang berpengalaman 30 tahun dalam bidang seni, dia atau gandingannya Os tidak pernah menetapkan harga yang tidak masuk akal seperti digembar-gemburkan itu.

Bagaimanapun, katanya, harga tersebut haruslah wajar dan berpatutan dengan bakat, pengalaman dan portfolio mereka selepas memenangi program MLM pada tahun lalu.

“Kami tidak pernah letak harga yang bukan-bukan. Kalau diikutkan harga kami tetapkan tidak seberapa berbanding pengalaman, bakat dan profil. Malah, pelawak-pelawak yang lebih muda dan baru setahun jagung mendapat bayaran jauh lebih tinggi daripada kami.

“Apakah itu dinamakan kami meletakkan harga tinggi? Kami tidak pernah memilih tawaran, jika kena pada cara dan tolak-ansur, kami ambil sahaja walaupun harganya tidak setimpal dengan apa yang kami tawarkan,” katanya.

Abon berkata apa yang dikesalkan, sebelum ini kewujudannya dalam industri sering dianggap remeh dan tidak mendapat sokongan media tetapi sejak menjuarai MLM pelbagai cerita dan tumpuan mula terarah kepada mereka yang berbaur negatif pula.

“Selama ini pun saya berdikari dalam industri dan tidak pernah kecoh untuk publisiti atau letak harga apa pun. Saya bekerja dalam bidang ini untuk wang dan tidak kisah tentang soal publisiti.

“Orang ramai akan faham kalau juara MLM ini hendak letak harga atau apa sekali pun kerana kami sudah buktikan kemampuan kami.

“Yang lucunya, orang luar tidak kecoh tetapi orang dalam industri sendiri pula yang berkata macam-macam,” katanya yang menerima pelbagai undangan persembahan pentas tanpa henti sejak menjuarai MLM.

Sebagai sindiran kepada segelintir pihak yang memburukkan nama dan reputasinya dan kumpulan tersebut, Abon sempat membacakan serangkap pantun secara spontan yang berbunyi:

Jangan ikut perangai hantu, Sebab hantu asalnya syaitan, Kalau kita tak membantu, Tolong jangan nak jatuhkan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan