Norish Karman Tidak Peduli Cakap Orang Kerana Jadi Penyanyi

Diterbitkan: Jumaat, 2 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Norish Karman puas impian bergelar penyanyi jadi kenyataan hasil titik-peluh selama empat tahun. - Foto oleh AZLINA ABDULLAH
Norish Karman puas impian bergelar penyanyi jadi kenyataan hasil titik-peluh selama empat tahun. - Foto oleh AZLINA ABDULLAH

PETALING JAYA: Pelakon Norish Karman menegaskan tidak mahu mengambil peduli terhadap persepsi negatif segelintir pihak yang mempertikaikan keputusannya untuk bergelar penyanyi.

Menurut wanita berusia 36 tahun ini, penghijrahannya ke bidang nyanyian adalah sesuatu yang sudah lama diimpikan. Justeru itu, katanya, dia tidak perlu berasa khuatir atau tergugat dengan sikap skeptikal pihak tertentu untuk merealisasikan hasrat terpendam itu.

“Saya ada mendapat pelbagai respons dan komen orang mengenai percubaan saya kepada bidang nyanyian. Ada yang positif dan tidak kurang juga yang meragui usaha saya ini.

“Ada yang kata apa perlunya saya hendak menyanyi dan lebih baik teruskan berlakon sahaja. Bagi saya, nyanyian adalah satu cabang seni yang sudah lama terpendam dalam diri,” katanya ketika ditemui mStar Online di Menara Star, di sini.

Ibu tunggal kepada tiga orang anak ini berkata, faktor lewat merakamkan lagu ketika usia semakin lanjut tidak pernah wujud dalam kamus hidupnya dalam melaksanakan impian untuk bergelar penyanyi.

“Tiada isu usia atau lewat bermula dalam diri saya. Orang yang menganggap perkara itu sebagai penghalang hanya akan membatasi diri mereka untuk mencapai impian.

“Selepas sekian lama merancang, saya kira ini adalah waktu terbaik untuk memulakannya,” katanya.

Norish turut berharap kemunculan album sulung yang akan dilancarkan pada penghujung Mac ini menjawab segala dakwaan kononnya dia mendiamkan diri sejak hujung tahun lalu kerana hamil luar nikah.

“Ini (album) adalah jawapan kepada persembunyian saya selama ini. Banyak sangat spekulasi dan tohmahan yang dilemparkan tetapi saya tidak mahu pening kepala untuk menjawab.

“Saya mahu muzik saya memberikan penjelasan kenapa saya menyepi. Ini adalah hasil keringat dan susah-payah saya selama tiga hingga empat tahun ini,” katanya.

Sambung Norish, album yang bakal memuatkan enam hingga tujuh lagu itu cukup bermakna buatnya kerana dia tidak hanya menyanyi tetapi turut terlibat sepenuhnya dalam proses penerbitan.

“Album ini pasti ada kekurangannya kerana ia adalah percubaan pertama tetapi ia memberikan kepuasan dan pengalaman yang luar biasa.

“Bukan hanya saya mengeluarkan wang sendiri, malah saya belajar dan terlibat dalam proses penerbitan dan penulisan lirik lagu-lagu dalam album ini,” katanya yang turut melakukan kolaborasi dengan Filsuf dalam lagu Terus Melangkah.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan