Nabil (Raja Lawak) Pindah Rumah Sebelah Pejabat

Diterbitkan: Jumaat, 2 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Nabil.
Nabil.

KUALA LUMPUR: Penyampai radio Suria FM, Ahmad Nabil Ahmad atau Nabil (Raja Lawak) mengambil keputusan berpindah ke lokasi berdekatan pejabat Suria FM di Tropicana City Office Tower, Damansara dekat sini bagi memudahkannya bergerak ke stesen radio itu seawal pukul 5 pagi.

Nabil berkata, walaupun tidak mempunyai masalah bangun pada waktu pagi, keputusan itu dibuat bagi memudahkannya untuk memulakan tugas pada pukul 6 pagi.

"Rumah saya betul-betul bersebelahan dengan pejabat Suria FM dan setiap pagi saya hanya turun berjalan kaki ke pejabat yang mengambil masa tidak sampai lima minit," ujarnya kepada mStar Online.

Nabil ditemui ketika menghadiri majlis makan malam bersama Rafflesia The Pearl Centre bersempena meraikan pemenang yang pernah merangkul trofi Bintang Paling Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) di sini pada malam Rabu.

Tambahnya, tindakannya itu adalah salah satu usahanya untuk tidak memberi alasan kepada pihak pengurusan sekiranya dia terlambat.

"Selain menjadi penyampai radio saya turut ada penggambaran drama atau filem yang memakan masa agak lama. Jadi untuk mengelakkan saya lambat adalah lebih baik berpindah tinggal berdekatan pejabat.

"Tambahan pula ada kondominium yang betul-betul bersebelahan dengan bangunan terletaknya Suria FM itu," ujarnya.

Dalam pada itu, Nabil berkata dia semakin selesa bergelar penyampai radio dan banyak mempelajari perkara baru daripada dua rakan gandingannya iaitu Halim Othman dan Kenchana Dewi.

"Saya dan Kenchana banyak bekerjasama kerana kami sama-sama baru dalam bidang radio. Mendapat tunjuk ajar daripada penyampai senior seperti Halim, Linda dan yang lain-lain adalah satu pengalaman yang berharga.

"Tidak ketinggalan penerbit saya Wan Shahrul Amry yang banyak memberi idea-idea dalam memastikan program itu terus mendapat sambutan di kalangan pendengar," katanya.

Nabil bersiaran setiap dari hari Isnin hingga Jumaat dari pukul 6 pagi sehingga 10 pagi dalam slot Breakfast@Suria.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan