Mufti Perlis Tegur Lambakan Filem Tahyul, Hantu

Diterbitkan: Selasa, 21 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Filem seram dikatakan merosakkan akidah penonton dan umat Islam. Gambar sekadar hiasan.
Filem seram dikatakan merosakkan akidah penonton dan umat Islam. Gambar sekadar hiasan.

KANGAR: Lambakan filem dan drama berunsur tahyul, hantu dan seram yang ditayangkan terutama melalui televisyen memberi kesan negatif terhadap pembinaan masyarakat yang bertamadun.

Mufti Perlis Dr Juanda Jaya pada Selasa berkata, beliau berharap Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) memantau serta mengawal penayangan filem dan drama seumpama itu yang antaranya menggambarkan tahap penghinaan yang serius terhadap Islam.

Bercakap kepada pemberita di pejabatnya Selasa, beliau berkata Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis yang bersidang semalam turut membangkitkan perkara itu kerana bimbang ia mungkin mempengaruhi akidah umat Islam.

"Ia bukan hanya untuk filem-filem atau drama tempatan tetapi juga yang diimport," katanya.

Juanda percaya lambakan filem dan drama seumpama itu adalah kerana ia mendapat sambutan masyarakat sedangkan kesan jangka panjang kepada penonton adalah buruk.

Beliau turut mencadangkan supaya satu kajian mengenai impak penonton terhadap filem-filem seumpama itu.

Selain itu, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis juga membangkitkan isu eksploitasi terhadap wanita melalui iklan produk tertentu sehingga mempamerkan aurat mereka secara tidak terkawal.

"Islam meletakkan wanita pada kedudukan yang tinggi dan tidak sewajarnya mereka dieksploitasi untuk melariskan barangan," katanya.

Beliau berkata wanita Islam yang terpilih sebagai model barangan tertentu sepatutnya menutup aurat manakala yang bukan Islam perlu berpakaian sopan.

Sementara itu, Juanda melahirkan rasa kecewa dengan iklan penjualan kismis yang kononnya telah dibawa tawaf di Kaabah untuk meningkatkan khasiatnya begitu juga iklan mengenai air zam zam yang kononnya telah dibawa ke tempat solat hajat semata-mata untuk mendapatkan harga yang lebih tinggi berbanding biasa.

Beliau menyifatkan iklan seumpama itu bertujuan menipu pengguna di samping melakukan eksploitasi agama dalam perniagaan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan