Bienda Rahsiakan Jantina Bakal Anak Untuk Kejutan

Diterbitkan: Isnin, 20 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Bienda
Bienda

PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon Bienda yang dijangka akan melahirkan anak sulungnya pada minggu ini mahu merahsiakan jantina bayi tersebut kerana ingin membuat kejutan kepada semua pihak termasuk ahli keluarganya sendiri.

Penyanyi lagu Penantian ini berkata keputusan itu diambil berdasarkan pengalaman adiknya yang pernah berasa terkilan apabila jantina bayi yang dilahirkan berbeza daripada jantina yang dikenalpasti ketika pemeriksaan kandungan dilakukan.

“Saya memang tidak dapat berkongsi jantina bayi ini walaupun dengan sesiapa pun. Hanya saya dan suami sahaja yang sudah mengetahuinya. Sebelum ini, pernah berlaku pada adik saya di mana jantina bayi yang dilahirkan berbeza daripada apa yang dilihat ketika pemeriksaan dilakukan.

“Bagi saya, ini semua adalah kuasa dan ketentuan Tuhan. Saya dan suami bersedia untuk menerima apa juga jantina bayi kami kelak.

“Dengan cara itu, ia adalah adil kepada semua kerana jantina bayi hanya akan diketahui apabila dia lahir dijangka pada minggu ini,” katanya ketika dihubungi mStar Online, Ahad.

Bienda atau nama sebenarnya Nor Razlinda Razli, 27, berkahwin dengan penerbit program di Primeworks Studios, Kamarul Zariman Abd Rahman pada 8 Oktober 2010.

Pelakon filem Budak Kelantan ini menambah, atas dasar itu dia mengambil jalan selamat dengan membeli pakaian berwarna putih dan boleh dipakai oleh kedua-dua jantina bayi.

“Saya banyak beli pakaian berwarna putih sebab ia lebih mudah untuk dipadankan pada bayi lelaki atau perempuan.

“Kalau saya beli pakaian bayi yang spesifik mengikut jantina yang dimaklumkan kepada saya dan suami, mungkin akan jadi membazir jika bayi yang lahir itu berbeza jantinanya,’ katanya.

Berkongsi tentang debarannya menjelang kelahiran anaknya itu, Bienda berkata dia kini dibayangi oleh perasaan yang bercampur-baur.

“Saya pun susah hendak gambarkan perasaan yang sebenar pada waktu ini. Apabila waktu untuk bersalin ini semakin dekat, saya jadi tidak sabar pun ada dan kadang-kadang bimbang dan takut juga.

“Apa pun, jika diizinkan saya berharap dapat melahirkan bayi ini secara normal. Saya ingin merasai sendiri kesakitan yang pernah dirasai oleh ibu ketika melahirkan saya dulu,” katanya.

Walaupun sarat mengandung, Bienda masih aktif memenuhi pelbagai persembahan pentas dan baru sahaja menamatkan penggambaran sitkom bersiri berjudul An-Nisa untuk TV AlHijrah.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan