Awie Angkat Martabat Silat Dalam Filem Sulung

Diterbitkan: Khamis, 16 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Awie
Awie

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon Awie berkata kecenderungan penggiat filem tempatan yang mengetengahkan seni mempertahankan diri daripada luar menerusi filem-filem mereka membuatkan dia terpanggil untuk memartabatkan seni silat dalam filem sulung arahannya yang dijangka bermula pada Mei depan.

Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 43, memberitahu sikap segelintir karyawan filem yang seolah-olah taksub untuk mengangkat elemen “muay Thai”, kung fu atau tinju dalam filem aksi tempatan hanya akan meminggirkan seni silat pada mata umum.

“Sebenarnya perancangan untuk mengarah dan menerbitkan filem pertama saya memang sudah lama difikirkan tetapi saya tidak berani kongsikan sebelum ini kerana isu dana.

“Insya-Allah jika segalanya lancar, saya akan memulakan filem sulung yang judulnya buat masa ini saya pilih Merah 2 pada Mei depan.

“Saya sudah lama mengidamkan untuk membuat filem aksi daripada perspektif saya dengan mengangkat ilmu silat,” katanya ketika ditemui mStar Online, baru-baru ini.

Awie berkata walaupun ia bertunjangkan seni silat, filem yang bertemakan dunia gengster Melayu itu bagaimanapun bakal dihasilkan dengan stail yang segar dan unik berbanding filem-filem silat sedia ada.

“Dalam filem itu nanti, kita bukan hendak menunjukkan bunga dan gerak-geri silat itu secara terperinci. Ia hanya menekankan aspek disiplin dalam seni silat yang disesuaikan mengikut jalan cerita kontemporari.

“Ia akan sarat dengan aksi dan pertarungan seperti filem-filem aksi yang lain tetapi bertunjangkan prinsip persilatan,” katanya.

Ketika ditanya adakah penghasilan filem berkenaan dipengaruhi latar belakangnya selaku anak murid persilatan, Awie berkata ilmu dan pengalaman yang dimiliki selama ini wajar diketengahkan bagi menaikkan martabat seni mempertahankan diri itu.

“Secara kebetulan, Allahyarham bapa saya adalah seorang guru silat dan saya sendiri memang mempelajari ilmu silat. Jadi, apa salahnya jika saya mengangkat seni itu ke dalam filem.

“Jika pembikin filem Barat atau Asia yang lain berbangga memartabatkan seni mempertahankan diri mereka, mengapa kita tidak lakukan perkara yang sama,” katanya yang merancang untuk mempelawa Afdlin Shauki dan Hans Isaac membintangi filem berkenaan.

Terbaru, Awie bakal beraksi dalam pementasan muzikal Cuci The Musical 3 Last Kopek bermula 2 hingga 18 Mac depan di Istana Budaya.

Dia juga dijangka memulakan penggambaran sebuah filem pada Mac ini, selain turut merancang untuk mengeluarkan album terbaru kumpulan Wings pada tahun ini juga.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan