'Patah Seribu' Beri Keyakinan Kepada Michael Ang

Diterbitkan: Rabu, 15 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Michael Ang.
Michael Ang.

KUALA LUMPUR: Kejayaan telefilem Biar Mimpi Sampai Ke Bintang yang mencatat rating 1.1 juta penonton pada akhir tahun lalu telah memberi keyakinan kepada pengarah filem dan drama terkenal, Michael Ang untuk menghasilkan karya terbaru berjudul Patah Seribu.

Michael ketika ditemui berkata, idea untuk menghasilkan telefilem tersebut muncul apabila dia diberikan tanggungjawab mengarahkan klip video lagu dendangan dan ciptaan penyanyi Shila Amzah dengan judul yang sama.

"Selepas klip video berkenaan siap dan dipertontonkan kepada Astro, mereka memberikan cadangan mengapa tidak menghasilkan sebuah telefilem berdasarkan lirik lagu tersebut.

"Saya harap Patah Seribu akan disukai oleh peminat dan mendapat sambutan," ujarnya ketika ditemui pada sidang media telefilem itu di sini pada Selasa.

Patah Seribu akan ditayangkan pada 23 Februari ini pada pukul 9 malam di saluran Astro Ria.

Ia mengisahkan Bella (Shila) dibesarkan dalam suasana mewah sejak kecil mula merasakan hidupnya kosong apabila mendapati rakan-rakannya hanya rapat dengannya kerana wang dan kedudukan.

Dia berkenalan dengan Azu (Sharnaaz) yang juga seorang penjual buah berangan namun Azu enggan melayannya sehinggalah pengutip cukai haram datang memeras ugutnya di gerai.

Kasihan dengannya, Bella membayar sejumlah wang kepada penjahat tersebut dan sejak itu dia semakin rapat dengan Azu dan pelbagai kisah menarik terjadi sepanjang perkenalan mereka.

Dalam pada itu, Michael berkata, dia juga terkejut apabila Shila memberikan persetujuan untuk berlakon sama dalam telefilem itu Sharnaaz Ahmad.

Michael memberitahu, dia mahu penyanyi itu terlibat kerana Shila lebih memahami isi hati watak dihasilkan berdasarkan lirik yang ditulisnya sendiri.

"Tidak sangka Shila memberikan persetujuan memandangkan dia tidak pernah berlakon sebelum ini," katanya.

Dalam perkembangan sama, Michael berkata, dia berpuas hati dengan lakonan Shila dan yakin artis itu boleh pergi jauh dalam bidang lakonan.

Tambahnya, dia tidak mempunyai banyak masalah di set penggambaran dan senang bekerja dengan pelakon baru itu.

"Apa yang boleh saya katakan, lakonan Shila dalam Patah Seribu tidak 'kayu' dan dia boleh pergi jauh jika diberikan peluang lebih banyak," ujarnya.

Selain Shila dan Sharnaaz, Patah Seribu turut dijayakan oleh Jihan, Sharifah Shahora, Amar Baharin dan Reza Mohd.

Sementara itu, Michael memberitahu dia juga bakal muncul dengan dua drama lain iaitu Penjara dan Kupu-kupu Malam dalam masa terdekat.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan