Anak Angkat Pengubat Rindu Ziela Kepada Arwah Suami

Diterbitkan: Selasa, 7 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Ziela dan anak angkatnya Ibrahim Junid yang baru berusia dua bulan. - Foto oleh AHMAD IZZRAFIQ ALIAS
Ziela dan anak angkatnya Ibrahim Junid yang baru berusia dua bulan. - Foto oleh AHMAD IZZRAFIQ ALIAS

KUALA LUMPUR: Penerbit drama dan pelakon Ziela Jalil menyifatkan kehadiran anak angkat lelakinya bernama Ibrahim Junid Abdullah yang berusia dua bulan sebagai pengubat kerinduannya kepada Allahyarham suaminya Tan Sri Megat Junid Megat Ayub yang meninggal dunia pada 2008.

Megat Junid adalah bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Ziela atau nama sebenarnya Norzilah Jalil, 42, berkata selepas hampir tiga tahun berusaha untuk mencari seorang anak angkat, dia akhirnya dipertemukan dengan bayi yang merupakan anak kepada salah seorang saudaranya.

“Sebenarnya saya sudah mula mencari anak angkat sejak 2008 lagi. Sebelum ini, dua kali usaha dan niat saya tidak kesampaian untuk mengambil anak angkat disebabkan beberapa masalah yang timbul pada saat-saat akhir.

“Syukur, pada pencarian kali ketiga ini, saya diberikan peluang oleh Allah untuk dipertemukan dengan Ibrahim yang dapat mengisi kesunyian dan penambah seri dalam kehidupan saya sekeluarga,” katanya kepada pemberita pada majlis cukur jambul bayi tersebut di Restoran Rebung, Bangsar, di sini, petang Isnin.

Hasil perkahwinannya dengan Allahyarham, Ziela dikurniakan sepasang anak iaitu Puteri Julia Nabilah, 20, dan Megat Jufri Nasrullah, 18.

Bercerita tentang pemilihan nama anaknya itu, Ziela berkata nama tersebut sudah menjadi pilihannya sejak dia mula merancang untuk mengambil anak angkat pada 2008 lagi.

“Ia adalah nama yang baik dan berilhamkan nama Nabi Ibrahim. Sejak saya mula-mula merancang untuk ambil anak angkat pada 2008 lagi, nama itu sudah ada dalam fikiran.

“Sejujurnya saya tidak kisah pun bayi lelaki atau perempuan. Apabila ditakdirkan saya bertemu bayi lelaki, saya kekalkan sahaja nama Ibrahim itu,” katanya.

Berkongsi pengalamannya menjaga bayi tersebut, Ziela berkata dia langsung tidak berasa kekok atau penat untuk menguruskan Ibrahim sepenuhnya walaupun hampir 17 tahun tidak mempunyai anak kecil. “Sejak anak pertama saya, Julia dilahirkan lagi saya yang uruskan sepenuhnya bagi tempoh enam bulan pertama. Saya lakukan amalan yang sama juga pada Ibrahim selagi dia belum boleh menikmati makanan yang pejal.

“Cuma, pada masa ini saya sedang berusaha mengambil ubat untuk membolehkan saya menyusukan dia,” katanya.

Ziela berkata majlis yang diadakan bersempena keberkatan sambutan Maulidur Rasul itu turut bertujuan untuk mengumumkan kepada masyarakat mengenai kehadiran Ibrahim dalam keluarganya.

“Selain acara cukur jambul ini, saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengumumkan kepada masyarakat tentang kehadiran Ibrahim sebagai ahli keluarga baru kami.

“Sejak saya mula memeliharanya hampir dua bulan lalu, saya sering ditanya oleh orang ramai yang menyangka Ibrahim adalah cucu saya apabila terserempak di mana-mana.

“Saya berharap, pengumuman ini dapat meleraikan kekeliruan masyarakat,” katanya.

Lebih 100 jemputan yang hadir termasuklah sanak keluarga, petugas media dan rakan-rakan artis seperti Datin Sofia Jane, Melissa Saila, Liza Abdullah, Mariani, Zul Yahya, Anita Baharom, Lydiawati dan Zarina Zainuddin.

iklan

Video

Isnin, 18 Disember 2017 2:45 PM

Kecoh Naim Daniel 'Berduet' Dengan Hantu

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Kolumnis

iklan

Iklan