'Lawak Ke, Der?' Bikin Penonton Tak Kering Gusi

Diterbitkan: Sabtu, 4 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Gelak tawa yang tidak henti-henti daripada para penonton Lawak Ke, Der?, menunjukkan persembahan 'stand-up comedy' yang berlangsung pada malam Jumaat di Istana Budaya (IB) itu bakal menjadi ikutan di masa akan datang.

Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata, persembahan yang menampilkan empat pelawak hebat iaitu Boboi (Afdlin Shauki dan Harun Salim Bachik), Osbon (Mr.Os dan Abon), Harith Iskander dan Nabil itu telah menunjukkan para pelawak mampu 'menguasai' pentas dengan cara yang tersendiri.

"Pihak IB akan membuat slot komedi di bawah nama 'Bila Hati Digeletek' pada tahun hadapan dan akan perbanyakkan lagi pementasan berbentuk komedi selepas melihat respons pra penonton Lawak Ke, Der?.

"Para penonton ini terdiri daripada pelbagai golongan umur, mereka bergelak ketawa, tak kering gusi dibuatnya. Ternyata pentas IB bukan sahaja untuk pementasan teater semata-mata atau konsert, sebaliknya persembahan 'stand-up comedy' juga boleh menarik perhatian umum.

"Jadi, bagi mana-mana syarikat yang ingin menganjurkan persembahan berbentuk komedi, mereka bolehlah menghantar proposal bermula sekarang," katanya yang ditemui selepas persembahan Lawak Ke, Der?, di sini, malam Jumaat.

Tambah Juhari, kehebatan persembahan Lawak Ke, Der? juga sekaligus mengangkat martabat para pelawak yang selama ini sering diperlekehkan.

Persembahan Lawak Ke, Der? yang diadakan selama dua jam ternyata menghiburkan para penonton lebih-lebih lagi apabila pemenang Maharaja Lawak Mega (MLM) terbitan Astro Warna iaitu Osbon (Juara) dan Boboi (Naib Juara) membawa karakter masing-masing yang pernah dibawakan sebelum ini dalam MLM.

Boboi yang popular dengan karakter 'Datin Maimun' di MLM ternyata memberikan persembahan hebat yang mampu mencuit hati penonton dengan gaya rambutnya yang besar dan lenggok tubuh menawan sambil menyelitkan lawak-lawak seperti cincin berlian dan beg tangan jenama mewah termasuk poco-poco dan senam aerobik.

Kemudian lagu ‘Ghost Buster’ yang diubah liriknya kepada cerita pembasmi hantu dan orang minyak yang dilakonkan oleh Harun juga menjadi tarikan sehinggakan para penonton yang mungkin peminat setia MLM turut menyanyi bersama-sama dengan kumpulan itu.

Osbon pula lebih bersahaja mempersembahkan tentang kisah kehidupan seorang pemandu teksi dan pegawai imigresen yang berbualmengenai masalah permit teksi dan PATI (Pendatang Asing Tanpa Izin).

Kemunculan Harith juga antara ditunggu-tunggu kerana dia yang lebih kerap muncul di acara-acara besar dan korporat buat pertama kalinya bergandingan dengan pelawak-pelawak televisyen secara terbuka.

Ternyata, persembahan Harith yang banyak menggunakan bahasa Inggeris bukanlah satu penghalang untuk penonton bergelak ketawa dengan lawak yang dibuatnya itu.

Harith banyak menceritakan tentang perbezaan zaman dahulu dan sekarang daripada segi penghasilan lirik lagu, kehidupan kekeluargaan dan percintaan.

Nabil pula, selaku pengacara malam itu akan muncul berselang seli dia antara pelawak-pelawak tersebut.

Lawak Ke, Der? yang diarahkan oleh Hans Isaac itu akan diadakan selama enam hari, dimulakan dengan persembahan Osbon iaitu pada 3 dan 10 Februari depan, diikuti Jozan (4, 5, 11 & 12 Februari) manakala Boboi, Harith Iskandar dan Nabil akan tampil pada setiap hari.

Tiket yang berharga RM53, RM73, RM123, RM203 dan RM353 boleh dibeli menerusi www.ticket2u.biz atau hubungi 03-41478600.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan