Haiza Buang Ego Selepas Gagal Album Dangdut

Diterbitkan: Jumaat, 3 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Haiza
Haiza

BANGSAR: Penyanyi Haiza atau nama sebenarnya Rohaizah Nordin, 32, terpaksa membuang egonya kerana sering mempertahankan irama dangdut akhirnya akur apabila apabila muncul dengan single lagu terbaru berkonsepkan pop berjudul, Semalam.

Haiza berkata, dia terpaksa berbuat demikian kerana ingin mengikut rentak dan peredaran muzik semasa selain memenuhi kehendak radio yang tidak lagi memutarkan lagu-lagu dangdut.

"Sedar tak bahawa lagu-lagu dangdut sudah jarang kita dapat dengar dalam radio? Sebagai seorang penyanyi yang masih lagi 'cari makan' menerusi kerjaya ini, saya perlu muncul dengan lagu baru.

"Justeru itu, saya pertaruhkan Semalam sebagai single terbaru dan buat pertama kalinya lagu yang saya bawakan ini berkonsep pop. Saya terpaksa membuang ego yang selama ini saya memperjuangkan muzik dangdut agar ia mudah diterima stesen-stesen radio tempatan," kata Haiza yang ditemui pada majlis ulang tahun kelahirannya di Restoran Rebung, di sini, malam Khamis.

Bagaimanapun tambah penyanyi ini, apabila mengubah konsep lagu yang berbeza, para peminat pula kecewa dengannya kerana mereka mengharapkan lagu dangdut baru dan bukannya lagu genre lain.

Dalam pada itu, isteri kepada pemain hoki Norhanapfe Omar, ini berkata, dia juga sedih kerana stesen-stesen radio seperti memandang enteng lagu-lagu barunya termasuklah lagu Marilah Padaku, single yang telah dikeluarkan pada tahun lalu.

"Pada tahun lalu, saya muncul dengan lagu Marilah Padaku, di mana ia berkonsepkan dangdut urban tetapi malang sekali ia tidak diputarkan dengan kerap di radio. Rasa macam sia-sia sahaja kerana ia tidak dapat diperdengarkan kepada umum.

"Sebab itulah untuk kali ini, saya keluarkan konsep pop pula agar ia dapat diterima oleh semua jenis stesen radio. Saya harap janganlah pula mereka (radio) ingat saya mahu menghentam, cuma ingin merayu untuk memberi ruang kepada saya," katanya yang akan berbalik kepada lagu dangdut andai kata Semalam tidak mendapat sambutan.

Kekal bahagia

Sementara itu, bercerita mengenai harapan sempena ulang tahunnya yang ke-32, Haiza mengharapkan agar dia, suami dan keluarga kekal bahagia di dunia dan akhirat.

Malah, penyanyi yang pernah popular dengan lagu Dag Dig Dug ini mendoakan supaya dia dan suaminya yang sudah pun berkahwin selama empat tahun dikurniakan anak pada tahun ini.

"Saya bukannya jenis yang meminta, cuma ingin mengharapkan yang baik-baik sahaja buat saya dan sekeluarga. Semoga saya diberikan rezeki anak juga.

"Dalam pada itu, saya sering menerima hadiah bunga daripada suami selain memberi pelbagai kejutan, tetapi tak tahulah apa yang dia nak beri pada tahun ini.

"Apa-apa pun saya tak kisah, kerana hadiah paling bermakna buat saya ialah kasih sayang yang diberikan selama ini," ujarnya.

Pada majlis ulang tahun Haiza, ia disambut sederhana tetapi meriah oleh keluarga rakan-rakan media dan beberapa teman selebriti antaranya seperti Maya (Matahari), Datuk Chef Ismail dan Alyah.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan