Muaz Tidak Berhasrat Tinggalkan RTM

Diterbitkan: Ahad, 29 Januari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Muaz selesa di RTM.
Muaz selesa di RTM.

PETALING JAYA: Pengacara program Diari Pilih Kasih, Muazanazzudin Mohamed menjelaskan tidak berhasrat untuk meninggalkan stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM) semata-mata mengejar populariti sebagai selebriti.

Muazanazzudin atau lebih mesra dengan sapaan Muaz berkata, dia selesa bekerja di saluran kerajaan itu walaupun kurang dikenali oleh masyarakat.

"Jika saya ingin mengejar populariti dan dikenali ramai mungkin lama dulu saya tinggalkan RTM tetapi saya masih di sini kerana minat terhadap bidang pengacaraan dan penyampaian radio.

"Walaupun sedikit rasa terkilan kerana masih belum ramai mengenali saya tetapi matlamat untuk melihat RTM maju dan setanding stesen swasta lain adalah lebih utama buat saya," ujarnya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Sabtu.

Tambahnya, dia ingin mengubah stigma masyarakat terhadap saluran itu yang didakwa kurang menarik dan terikat dengan pelbagai peraturan dalam kandungan programnya.

Muaz, 28, berkata, atas dasar itu juga dia cuba memberikan gaya penyampaian berbeza dalam setiap rancangan kendaliannya supaya dapat memberi nafas baru kepada stesen itu.

Tidak menafikan dia masih perlu mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh RTM, Muaz bagaimanapun berkata, dia tidak mahu menjadikan perkara itu sebagai alasan untuk melahirkan idea kreatif untuk program kendaliannya.

"Tidak semua program di RTM yang dikawal ketat kerana kita masih diberi kebebasan untuk berkarya bagi mencantikkan sesebuah rancangan itu.

"Saya sebagai seorang pengacara perlu bijak untuk mengendalikan sesebuah rancangan supaya tampak berbeza dan dapat menarik perhatian penonton," ujarnya.

Dalam pada itu, Muaz yang juga mengacarakan Diva@1 dan Generasi Y berkata, dia teruja dapat mengendalikan program Diari Pilih Kasih kerana pertama kali mengendalikan rancangan berbentuk realiti.

Muaz berkata, ia mencabar kredibilitinya sebagai pengacara kerana perlu tampil dengan gaya berbeza supaya kelihatan menarik dan santai.

"Secara asasnya ia tidak banyak beza dengan gaya pengacaraan program lain tetapi saya perlu lebih santai dan menyuntik sedikit pembaharuan bagi memberikan kelainan daripada rancangan lain yang dikendalikan," ujarnya.

Sementara itu, Muaz memberitahu, selain sibuk dengan rakaman program Diari Pilih Kasih dan Diva@1, dia juga perlu membahagikan masa untuk ke konti radio Muzik FM pada setiap Rabu dan Khamis untuk mengendalikan slot Ceria Pagi dari pukul 6 hingga 10 pagi.

Selain itu, dia turut ke udara setiap Sabtu hingga Isnin dari pukul 12 tengah malam hingga 3 pagi menerusi slot Rileks Jer!.

"Tidak susah untuk membahagikan masa kerana ini adalah kerjaya yang saya minati," ujarnya ringkas.

Diari Pilih Kasih disiarkan setiap Rabu dan Khamis pukul 9 malam di TV2.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan