Umie Aida Mahu Beri Fokus Pada Keluarga

Diterbitkan: Rabu, 18 Januari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Umi bersama suaminya, Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan pada majlis sambutan hari jadinya yang ke 39 pada malam Selasa. Foto Ihsan UTUSAN MALAYSIA.
Umi bersama suaminya, Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan pada majlis sambutan hari jadinya yang ke 39 pada malam Selasa. Foto Ihsan UTUSAN MALAYSIA.

PETALING JAYA: Pelakon Datin Umie Aida, 39, tidak merancang untuk memiliki anak sendiri sebaliknya cukup dengan hanya memberi fokus terhadap suami, Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan dan dua orang anak angkatnya, Mohd Daniel Firdaus, 19, dan Mohd Dzulhelmy, 18.

Malah, Umie berkata, meluangkan lebih banyak masa dengan keluarga dan mengurangkan aktiviti seni lakonan merupakan sebahagian daripada azamnya untuk tahun ini.

"Sebenarnya saya tidak mahu memikirkan tentang kehadiran 'orang baru' dalam keluarga ini. Dua orang anak angkat bersama seorang suami di sisi sudah cukup membahagiakan saya.

"Bagaimanapun, andai kata Tuhan menambah rezeki kami dengan dikurniakan seorang anak, kami sekeluarga tetap menerimanya dengan hati yang gembira," katanya selepas majlis ulang tahun hari jadinya yang ke-39 di Bukit Kiara Golf & Country Club (KLGCC) Bukit Kiara, di sini, Selasa.

Sebelum majlis sambutan hari jadinya itu, Umie telah diberikan kejutan daripada suami dan adiknya, Betty.

Betty memperdaya Umie kononnya ingin makan malam bersama sebelum ke pusat karaoke memandangkan Khairuddin berada di Ipoh, Perak untuk bermain golf.

"Biasanya, saya boleh mengagak kejutan hari jadi yang mereka buat. Tetapi tidak untuk kali ini kerana saya ingatkan suami berada di Ipoh.

"Tambah pula kejutan dibuat sehari sebelum tarikh lahir saya (18 Januari). Akhirnya mereka berjaya mengenakan saya juga," seloroh Umie.

Bercerita tentang hadiah hari lahir pemberian suami, Umie berkata dia tidak menerima dan meminta apa-apa hadiah daripada suaminya.

“Saya tidak mengharapkan apa-apa hadiah. Yang penting suami memberikan kasih-sayang dan menghargai diri saya.

“Sempena ulang tahun ini, saya mendoakan agar dapat menjadi isteri dan ibu yang baik untuk keluarga,” ujarnya yang akan terlibat dengan penggambaran drama, Waris pada 25 Januari ini.

Pada sambutan hari lahir Umie, seramai 60 orang tetamu memeriahkan acara itu termasuklah para selebriti seperti Rashidi Ishak, Vanidah Imran, Noniswara, Datin Sofea Jane, Iqram Dinzley dan Rabecca Nur Al-Islam.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan