Aksi Bertenaga Simple Plan Gegar KL Live

Diterbitkan: Ahad, 15 Januari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Kunjungan ketiga kumpulan ini ke sini adalah bersempena siri jelajah promosi album keempat mereka Get Your Heart On. Foto THE STAR Oleh SHAHRUL FAZRY ISMAIL.
Kunjungan ketiga kumpulan ini ke sini adalah bersempena siri jelajah promosi album keempat mereka Get Your Heart On. Foto THE STAR Oleh SHAHRUL FAZRY ISMAIL.

KUALA LUMPUR: Kumpulan Simple Plan benar-benar mengotakan janji untuk tampil dengan aksi bertenaga pada konsert Get Your Heart On! Tour Live in Malaysia apabila mereka berjaya memukau kira-kira 2,000 penonton di KL Live, di sini, malam Sabtu.

Dalam konsert yang berdurasi hampir dua jam, kumpulan dari Montreal, Kanada ini menyampaikan 18 rangkaian lagu yang dipetik daripada empat buah album studio mereka.

Berlatarkan susunan dan kualiti muzik yang mantap serta penggunaan pentas dan pencahayaan pada tahap maksima, Simple Plan tidak perlu menunggu lama untuk mengikat tumpuan sebaik sahaja lagu pembukaan Shut Up mula bergema.

Lima anak muda yang beraksi dengan skala persembahan yang ringkas ini membuktikan keutuhan mereka apabila setiap lagu yang didendangkan mendapat sorakan gemuruh penonton.

Antara lagu yang dipersembahkan termasuklah Thank You, Summer Paradise, I'm Just A Kid, Addicted, Welcome To My Life, Jet Lag dan banyak lagi.

Simple Plan melabuhkan tirai konsert menerusi lagu yang memperkenalkan mereka di sini iaitu Perfect.

Alunan lagu penutup itu diiringi nyanyian beramai-ramai oleh penonton.

Seperkara yang menarik, konsert berkenaan bukan sahaja memperlihatkan kematangan dan komitmen jitu Simple Plan menjayakan sebuah persembahan secara langsung.

Malah, ia diperkemaskan lagi dengan kawalan vokal yang konsisten vokalisnya, Pierre Bouvier.

Kemesraan dan kebijaksanaan Bouvier ketika berkomunikasi dan berjenaka dengan penonton lebih mewarnai konsert itu.

Selain Bouvier, kumpulan ini turut dianggotai Jeff Stinco (gitar utama), Sebastien Lefebvre (gitar rhythm), David Desrosiers (bass) dan Chuck Comeau (dram, percussion)/

Kunjungan ketiga kumpulan ini ke sini adalah bersempena siri jelajah promosi album keempat mereka Get Your Heart On.

Sebelum ini, mereka pernah bertandang ke sini pada 2004 dan 2007 bagi mempromosikan album-album terdahulu.

Simple Plan sudah mengeluarkan tiga album studio iaitu No Pads, No Helmets... Just Balls (2002), Still Not Getting Any... (2004) dan Simple Plan (2008), selain dua album rakaman secara langsung Live in Japan 2002 (2003) dan MTV Hard Rock Live (2005).

Konsert Simple Plan ini dibawakan oleh TuneTalk dengan kerjasama JS Concert Productions dan Fat Boys.

Kedatangan kumpulan ini adalah sebahagian daripada kempen siri konsert 'No Big Deal Lah'.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan