Syamsul Tolak Tuduhan Jadi Punca Kecederaan Aaron

Diterbitkan: Selasa, 10 Januari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Syamsul Yusof
Syamsul Yusof

PETALING JAYA: Pengarah filem KL Gangster 2 Syamsul Yusof menolak dakwaan mengatakan keterujaannya untuk mendapatkan impak luar biasa pada babak-babak aksi filem terbarunya itu telah mengakibatkan pelakon Aaron Aziz mendapat kecederaan di lokasi penggambaran filem itu malam Isnin.

Sebaliknya, Syamsul berkata sebagai seorang pengarah yang berpengalaman dalam pembikinan filem aksi, dia sentiasa mengutamakan aspek keselamatan para pelakon dan krew.

"Saya tidak pernah minta pelakon melakonkan aksi yang keterlaluan dan berbahaya. Sebagai pengarah, sudah tentu saya begitu menitikberatkan aspek keselamatan para pelakon dan krew ketika di lokasi penggambaran.

"Bagaimanapun insiden kecederaan yang menimpa Aaron Aziz itu tidaklah seteruk seperti yang digembar-gemburkan. Saya mendapat tahu dia cedera pada malam semalam (Isnin) dan akan berjumpa dengannya di lokasi sebentar lagi," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini, Selasa.

Syamsul berkata insiden tersebut disebabkan oleh keinginan para pelakon yang terlalu komited dan bersungguh-sungguh untuk melakonkan babak-babak aksi sehingga sanggup berhadapan dengan risiko kecederaan.

"Sebelum merakamkan babak aksi, kita melakukan latihan mengikut skrip yang dipersetujui bersama.

"Para pelakon sendiri begitu teruja untuk memberikan aksi lakonan yang ekstra. Namun, aspek keselamatan tetap jadi keutamaan," katanya.

Diminta mengulas tentang babak yang mengakibatkan kecederaan pada pelakon kacak itu, Syamsul berkata ketika penggambaran adegan pergaduhan di antara watak Malik lakonan Aaron Aziz dan Tailong (Rosyam Nor) berlangsung, tiada sebarang insiden buruk yang terjadi di lokasi.

"Kalau mengikut perancangan, Malik bergaduh dengan Tailong daripada dalam kelab sehingga ke jalan raya. Mereka akan bergaduh di atas bumbung kereta dan Malik jatuh berguling lantas dilanggar kereta.

"Bagaimanapun, Aaron mahu memberikan lebih impak, di mana dia memutuskan untuk berlari dan menghempaskan diri ke arah kereta yang sedang bergerak. Semuanya dalam keadaan baik ketika di lokasi dan saya terkejut apabila diberitahu Aaron ditahan di hospital selepas selesai penggambaran itu.

"Namun, saya bersyukur ia bukan kecederaan serius kerana Aaron sudah keluar dari hospital dan kembali ke lokasi pada hari ini," katanya.

Filem KL Gangster 2 yang merupakan “prekuel” kepada filem pecah panggung KL Gangster (2011) adalah arahan dan lakonan yang kelapan daripada Syamsul.

Filem yang menjalani penggambaran selama 50 hari ini sudah 80 peratus siap dirakam.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan