Azizah Mahzan Tegur Syarikat Produksi

Diterbitkan: Khamis, 5 Januari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Azizah Mahzan
Azizah Mahzan

PETALING JAYA: Dramatis popular Azizah Mahzan,55, menegur syarikat penerbitan drama dan filem di negara ini kerana melaksanakan tugas sambil lewa sehingga merugikan masa pelakon.

Azizah berkata dalam dunia penerbitan yang semakin rancak ini syarikat-syarikat produksi sepatutnya bekerja dengan lebih pantas dan bukannya "buat kerja main-main."

“Saya kecewa dengan sesetengah syarikat produksi yang tidak cekap. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini keadaan menjadi semakin buruk. Sepatutnya mereka perlu melakukan perubahan,” katanya kepada mStar Online di sini, Rabu.

Bekas isteri kepada Nasir Bilal Khan ini berkata berdasarkan kepada pengalamannya, penggambaran terpaksa di tangguh kerana skrip tidak dapat disiapkan mengikut masa yang ditetapkan.

Malah ada juga pihak penerbit yang cuba memerangkap artis dengan kontrak yang boleh menjerat diri seseorang pelakon.

“Saya pernah berhadapan dengan situasi apabila sampai di lokasi, skrip tak ada. Nak “shooting” macam mana? Kan dah membuang masa saya tu!

“Ada juga produser yang menyediakan kontrak dengan meminta saya berlakon sehingga penggambaran siap tanpa menyebut jumlah hari atau tarikhnya.

“Kalau tahun 2015 baru penggambaran siap, macam mana? Matilah saya,” katanya.

Atas dasar itu ujar Azizah dia amat bosan dengan dunia penerbitan drama di negara ini dan sering menolak tawaran berlakon yang diberikan kepadanya kerana masih tidak berpuas hati dengan perancangan yang mereka kendalikan.

Ditanya selepas membuat pengumuman bersara daripada dunia lakonan, Azizah berkata dia masih menerima tawaran berlakon tetapi terpaksa memilih.

“Saya sekadar menerima tawaran berlakon daripada mereka yang rapat dengan saya sahaja sekarang ini. Kebanyakannya saya tolak,” katanya.

Mengenai perubahan dalam dirnya selepas membuat keputusan memakai tudung awal tahun lalu Azizah berkata, dia menjalani hidup seperti biasa dan bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan Allah kepadanya.

Malah katanya, sama ada seseorang itu memakai tudung ataupun tidak bukanlah satu isu yang patut diperbesar ataupun diperdebatkan oleh orang ramai.

“Bertudung atau tidak, itu hak masing-masing. Asalkan dia orang Islam, dah cukup. Saya tidak pernah menilai orang daripada imejnya tetapi berdasarkan kepada hatinya walaupun dia seorang pelacur,” jelasnya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan