Dua Anggota 'Boboi' Sertai Umno

Diterbitkan: Selasa, 3 Januari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Afdlin dan Harun sah menjadi ahli Umno. Foto THE STAR oleh AZMAN GHANI.
Afdlin dan Harun sah menjadi ahli Umno. Foto THE STAR oleh AZMAN GHANI.

KUALA LUMPUR: Dua anggota kumpulan Boboi daripada program Maharaja Lawak Mega (MLM) iaitu Afdlin Shauki dan Harun Salim Bachik dengan rasminya menjadi ahli Umno apabila mereka menyerahkan borong keahlian pertubuhan itu pada Selasa.

Kedua-dua pelawak berkenaan menyerahkan borang kepada Setiausaha Kerja Umno Pusat, Datuk Abd Rauf Jusoh di ibu pejabat Umno, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Afdlin ketika ditemui berkata, dia menganggotai Umno dalam usaha menarik lebih ramai golongan belia untuk menyertai parti itu.

Katanya, dia sendiri sudah lama menjadi pemerhati terhadap pertubuhan politik dan meletakkan keyakinan tinggi kepada Umno terutamanya di bawah kepimpinan Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Sejak mula mengundi saya telah mengikut semua perjalanan Umno dan cukup mengagumi semua tokoh yang telah membangunkan negara.

"Penyertaan saya ini adalah sebagai tanda sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri dan berharap dapat menarik lebih ramai golongan muda dan peminat menyertai Umno," ujarnya.

Dalam pada itu, Afdlin berkata, wakil daripada golongan artis dalam sesebuah parti politik memainkan peranan penting kerana sedikit sebanyak ia dapat mempengaruhi dan sekali gus menaikkan imej sesebuah parti itu.

"Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama sendiri mendapatkan sokongan golongan artis untuk membantu meningkatkan imejnya selain bertujuan memancing undi. Ternyata strategi itu berjaya.

"Penyertaan kami juga diharap dapat membuka hati peminat-peminat kami yang menyokong parti lain supaya mengikut jejak langkah kami menyertai Umno," ujarnya.

Sementara itu, mengulas penglibatan mereka sebagai ahli baru pertubuhan itu, Harun berkata, dia tidak berfikir panjang mengenai perkara tersebut kerana ia adalah keputusan yang tepat.

Kedudukannya sebagai Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) kata Harun dan penglibatan dalam Umno juga dilihat dapat memberi kelebihan kepada industri seni kerana ia dapat membantu golongan artis pada masa hadapan.

"Penyertaan ini bukan bersifat peribadi atau kerana gilakan pangkat tetapi lebih kepada kami memainkan peranan sebagai seorang selebriti yang dilihat dapat menarik golongan muda menyertai Umno.

"Malah saya sendiri sebagai presiden seniman dapat menggalakkan lebih ramai penggiat seni mengikut jejak saya," ujarnya.

Afdlin dan Harun masing-masing menjadi ahli Umno di Cawangan Dataran Merdeka, dalam Bahagian Bukit Bintang sebagai ahli biasa.

Dalam perkembangan lain, Abd Rauf berkata, kemasukkan kedua-dua pelakon dan pelawak itu bukan sekadar perhiasan dalam parti sebaliknya dapat mendukung wawasan parti berkenaan supaya dapat dijadikan contoh kepada golongan belia di negara ini.

Katanya, suara golongan artis yang sering dekat dengan peminat dilihat dapat memainkan peranan baik dalam menyampaikan misi dan visi parti itu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan