Zain Saidin Temani Rozita & Anak-Anak Bercuti

Diterbitkan: Jumaat, 30 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pelakon jelita, Rozita Che Wan, 38, mengakui keluar bersama pelakon yang digosipkan mempunyai hubungan cinta dengannya iaitu Zain Saidin di Genting Highlands, Pahang Isnin lalu.

Rozita berkata, percutian sehari itu turut disertai oleh dua orang anaknya iaitu Ammar Effendy,15, dan Aniq Ezzra,12, yang sekarang ini sedang bercuti penggal persekolahan.

"Memang saya pergi ke Genting Highlands bersama Zain tetapi jangan salah anggap pula sebab anak-anak saya pun ikut sama. Kebetulan pula sekarang ini tengah cuti sekolah," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini, Khamis.

Rozita diminta mengulas mengenai hubungannya dengan Zain selepas pihak mStar Online mendapat panggilan telefon daripada beberapa orang peminat dan juga pekerja di pusat peranginan itu yang melihat mereka.

Tambah pelakon Kiah Pekasam ini, dia tidak mempunyai apa-apa hubungan cinta dengan Zain tetapi disebabkan anak-anaknya begitu rapat dengan pelakon tersebut maka adalah lebih baik dia mengajaknya bersama.

Sebagai bukti mereka rapat kata Rozita, pada malam ini (Khamis) anak-anaknya turut keluar bersama Zain untuk bermain futsal.

Sementara itu Zain yang dihubungi enggan memberi sebarang komen berhubung cerita itu sebaliknya dia mengambil pendekatan untuk menghubungi Rozita terlebih dahulu.

“Saya tengah nak main futsal ni. Saya komen yang sama la (seperti Rozita).

Dalam perkembangan lain, Rozita memberitahu jadual kerjayanya agak padat sehingga Ogos tahun hadapan dengan pelbagai tawaran berlakon telefilem dan drama bersiri.

Rozita berkata, dia juga bakal sibuk dengan perniagaan tudungnya, Padusi yang ingin diusahakan secara lebih serius.

"Alhamdulillahlah rezeki mencurah-curah sehingga jadual kerjaya saya telah pun penuh sehingga Ogos depan selain perniagaan tudung yang bakal saya usahakan secara lebih serius," ujarnya.

Tambahnya, ketika ini dia sedang sibuk di lokasi penggambaran drama Mr. Labuci arahan Murali Abdullah selain sedang giat dengan drama bersiri Mencari Athirah sebanyak 13 episod.

iklan

iklan

Iklan