Isu Teater : KP Istana Budaya Kesal

Diterbitkan: Jumaat, 30 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Shaarani.
Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Shaarani.

KUALA LUMPUR: Pihak Istana Budaya (IB) kesal dengan segelintir pihak yang hanya pandai mengkritik agensi itu khususnya dalam pementasan teater tanpa memberi sokongan untuk mengangkat industri seni tersebut.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata, selama ini banyak pihak yang menuduh IB sekadar mementingkan pementasan bersifat komersial dengan mengetepikan dunia teater .

"Pihak IB terpaksa mempelbagaikan persembahan dalam kalendarnya adalah kerana pementasan teater tidak mendapat sambutan daripada penonton.

"Pelbagai naskhah teater terbaik telah dipentaskan tetapi daripada segi penglibatan penonton setakat ini masih mengecewakan," ujarnya ketika ditemui selepas majlis pelancaran Program 2012 Istana Budaya di sini, Khamis.

Mohamed Juhari berkata, beliau kesal apabila banyak pihak mempertikaikan agensi itu kerana membawa masuk pelbagai persembahan yang bersifat komersial di IB sedangkan objektif utama penubuhannya adalah untuk memartabatkan seni teater.

Ujarnya, pihaknya telah melakukan pelbagai perkara untuk memartabatkan seni teater di negara ini melalui IB tetapi mereka perlu realistik dan memenuhi kehendak penonton.

"Kebanyakan persembahan yang dipentaskan seperti teater muzikal, konsert dan drama muzikal mendapat sambutan hebat daripada penonton.

"Oleh sebab itu kita perlu realistik dengan membawa masuk pelbagai genre dalam program di IB bagi mengikut kehendak semasa," ujarnya.

Bagaimanapun Juhari berkata, IB mencipta sejarah apabila kutipan jualan tiket pada tahun 2011 menunjukkan peningkatan positif iaitu hampir RM12 juta berbanding RM11 juta pada tahun lalu.

Tambahnya, walaupun peningkatan itu sedikit tetapi jumlah tersebut adalah hasil daripada 90 peratus pementasan produksi tempatan berbanding hanya 70 peratus tahun lalu.

"Ini telah menunjukkan penonton di negara ini lebih bijak menghargai hasil karya tempatan dan tidak hanya bergantung kepada persembahan luar negara.

"Pun begitu, kita masih perlu menyelitkan produk dari luar negara bagi menaikkan nama IB sebagai salah satu lokasi bertaraf antarabangsa," ujarnya.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu adalah Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim dan isteri, Datin Seri Maznah Rais.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan