'Saya Tiada Hak Paksa Lisa Surihani' - David Teo

Diterbitkan: Khamis, 29 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

David Teoh.
David Teoh.

PETALING JAYA: Ketua Pegawai Eksekutif, Metrowealth International Group (MIG), David Teo tidak akan menghalang artis di bawah naungannya, Lisa Surihani untuk meninggalkan syarikat tersebut selepas wanita itu berkahwin kelak.

David berkata, dia tidak berhak memaksa Lisa untuk terus bersamanya walaupun pelakon itu masih mempunyai baki kontrak bersama syarikatnya.

"Jika selepas berkahwin nanti dia ingin menyertai KRU Studios atau syarikat lain tidak menjadi masalah kepada saya kerana keputusan berada di tangan dia," ujarnya ketika ditemui mStar Online baru-baru ini.

Dalam pada itu, David memberitahu dia berasa sebak dengan berita perkahwinan Lisa dan penerbit filem, Yusry Abdul Halim yang di jadual pada 23 Februari depan.

David berkata, dia sudah menganggap Lisa seperti anaknya dan telah melihat perkembangan pelakon filem I'm Not Single itu sejak hari pertama dia terlibat dalam dunia hiburan.

"Saya bukan sahaja sebagai seorang rakan perniagaan malah lebih kepada bapa kerana telah mengambil tanggungjawab untuk menjaga Lisa daripada arwah bapanya.

"Jadi sebagai seorang bapa sudah tentu sedih 'anak' saya akan berkahwin. Bagaimanapun saya merestui perkahwinan ini dan gembira untuk Lisa," ujarnya.

Sementara itu, Lisa ketika ditanya mengenai perkara itu berkata, dia masih belum membuat keputusan mengenai isu itu dan ingin memberi fokus kepada kerjaya dan perkahwinannya yang akan berlangsung dalam masa dua bulan lagi.

Lisa bagaimanapun memberitahu selesa berada di bawah naungan David dan berterima kasih kepadanya kerana telah memberi peluang dalam dunia lakonan.

"David adalah seperti bapa yang banyak menjaga dan menasihati saya dan sukar untuk saya membuat sebarang keputusan tanpa mengambil pandangannya terlebih dahulu.

"Bagaimanapun saya masih belum berfikir mengenai kebarangkalian untuk meninggalkan Metrowealth kerana itu bukan tumpuan saya," ujarnya.

Bakal suami Lisa, Yusry pula berkata, dia tidak akan mempengaruhi Lisa mengenai perkara tersebut dan membiarkannya membuat keputusan sendiri.

"Itu adalah kerjaya seninya dan dia berhak untuk membuat keputusan sendiri sama ada untuk terus bersama Metrowealth atau pun menyertai KRU Studios," ujarnya.

Bagaimanapun katanya, dia percaya Lisa sudah boleh menguruskan kerjaya lakonannya sendiri tanpa bergantung kepada mana-mana pihak pengurusan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan