Keluarga Jadi Keutamaan Faizal Tahir

Diterbitkan: Isnin, 19 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Faizal Tahir.
Faizal Tahir.

AGAK lama juga wajah Faizal Tahir, rockstar kesayangan ramai ini sepi daripada publisiti media, apatah lagi mendengar khabar berita mengenai perkembangan dirinya.

Mengakui sudah lama tidak muncul di mana-mana akhbar mahupun majalah, jelas bapa kepada empat orang anak iaitu Ahmad Mikael Zidane, 6, Siti Raudhah Nur Iman, 4, Ahmad Rifa’ie Zidane, 2, dan Siti Rawdha Nur Jannah, 8 bulan, dia tidak terfikir untuk mencari publisiti jika tiada produk baru yang ingin diketengahkan.

Pelantun lagu Karma ini hanya selesa memenuhi undangan persembahan selain mempersiapkan material untuk album terbarunya yang akan dilancarkan pada tahun depan.

Selebihnya, Faizal banyak menghabiskan masa bersama keluarga dimana selama ini dia rasakan telah mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang suami dan bapa gara-gara terlalu sibuk dengan aktiviti seni nyanyiannya itu.

“Jujur saya katakan, sejak kelahiran Siti Rawdha pada Mac lalu, banyak perubahan yang berlaku dalam diri ini. Kerana dia, saya telah membuat perkara yang sebelum ini tidak pernah dilakukan.

“Antaranya, masa saya banyak dihabiskan bersama keluarga terutamanya anak-anak dan sempat pergi bercuti bersama ke beberapa lokasi menarik. Malah kami turut jamming bersama di rumah.

“Sebelum kemunculan album baru pada tahun depan, saya akan pastikan isteri (Raihanim Noran) dan anak-anak mendapat perhatian sepenuhnya.

"Bagaimanapun, saya tidak boleh lagi mengabaikan tanggungjawab terhadap mereka dan akan memastikan sesibuk macam mana sekalipun, masa antara kerja dan keluarga perlu diselaraskan,” katanya.

Tambah bekas ahli kumpulan Mirwana ini, masa yang diluangkan bersama anak-anak membuatkan dia lupa seketika tentang kerjaya seninya dan sekali sekala, karakter Faizal turut berubah seperti kanak-kanak dek kerana melayan telatah anak-anak.

Beli Mainan

Dalam pada itu, menjadi aktiviti tetap pada setiap hujung minggu, Faizal memanjakan anak-anaknya dengan membeli segala jenis permainan yang terbaru di pasaran.

“Diakui, saya telah memanjakan mereka terlebih sedikit dengan membelikan pelbagai mainan dan boleh dikatakan rumah saya penuh dengan barang-barang mainan mereka sahaja.

"Mintalah apa sahaja, pasti keinginan mereka saya tunaikan. Sampaikan isteri marah kerana terlalu mengikut kehendak anak-anak.

“Bagaimanapun, saya turut mengajar mereka untuk bersyukur dengan apa yang dimiliki dan pada masa sama mengingatkan mereka tentang kesusahan orang di luar sana.

“Alhamdulillah, apabila mendapat barang mainan baru, mereka pula yang beri pendapat dengan meminta saya sedekahkan permainan-permainan lama kepada anak-anak yatim atau yang lebih memerlukan.

“Meskipun suka melayan karenah manja mereka, sebagai seorang ayah, saya tetap bertegas dalam bab mendidik dan mereka dengar cakap saya dengan hanya mengeluarkan satu perkataan sahaja,” ujarnya terharu.

Melihat sendiri bakat seni muzik yang telah pun mengalir ke jiwa anak-anaknya, kata penyanyi ini, dia enggan mendedahkan mereka dengan muzik di peringkat awal.

Sebaliknya, Faizal mahu anak-anaknya dibesarkan dengan ilmu akademik dahulu sebelum menjadikan muzik sebagai pilihan utama.

“Saya tak mahu mereka membesar dengan pengaruh muzik yang terlalu kuat. Memang mereka sudah pun menunjukkan minat yang mendalam lebih-lebih lagi apabila sering dikelilingi oleh rakan-rakan baik saya yang juga merupakan ahli pemuzik.

“Tak naklah anak-anak melihat bidang ini sebagai impian masa depan. Bagaimanapun mereka tidak akan dihalang sekiranya ingin mengikut jejak langkah saya. Cuma, biarlah pelajaran dahulu yang diutamakan sebelum memilih muzik sebagai punca rezeki utama,” katanya.

Mahu bikin konsert solo

Bercerita pula tentang perancangan tahun depan, kata Faizal, kerjayanya akan bermula aktif selepas pelancaran album ketiganya (masih lagi belum diberi judul lagi) pada Mac atau April depan.

Katanya, album yang menampilkan sebanyak 20 buah lagu itu akan dipromosikan sehabis baik dan jika segala yang dirancang berjalan lancar, dia memberi sasaran untuk mengadakan konsert solo buat pertama kalinya pada hujung tahun depan.

“Tahun 2012 ternyata memberikan cabaran besar buat saya lebih-lebih lagi pelbagai perancangan telah pun dipersiapkan terutamanya dari segi strategi promosi dan penjualan album.

“Insya-Allah jika ada rezeki, saya akan muncul dengan konsert sulung pada akhir tahun depan dan semua itu terpulang pada respons yang diberikan oleh para peminat,” katanya bersemangat.

Tambah Faizal, dia juga mencabar dirinya untuk melihat sejauh mana kemampuan dia berdiri sebagai seorang penghibur.

Sementara itu, Faizal juga akan muncul pada Konsert Loudspeaker yang bakal berlangsung pada 25 Disember ini, pukul 8.30 malam, di Stadium Merdeka.

Faizal bersama ahli bandnya, Faizal Tahir & The Royale FT Force, akan berkongsi pentas bersama kumpulan Wings, Azlan The Typewriter dan XPDC pada malam itu.

“Tidak sabar rasanya untuk menantikan konsert ini lebih-lebih lagi apabila diberi penghargaan untuk berkongsi pentas dengan penyanyi-penyanyi ‘otai’.

“Setiap daripada kumpulan terbabit akan membawakan lagu-lagu hit mereka manakala saya pula akan persembahan lagu popular seperti Karma, Sampai Syurga dan Hanyut,” katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan